AM

Pandu Puteri Perkasakan Peranan Wanita Muda Dalam Kepimpinan, Keluarga

20/05/2025 03:02 PM

KOTA BHARU, 20 Mei (Bernama) -- Persatuan Pandu Puteri Malaysia memperkasakan peranan wanita muda dalam usaha membentuk golongan tersebut menjadi lebih berilmu, berakhlak mulia serta berjiwa kental, termasuk dalam memimpin keluarga, kata Timbalan Yang Dipertua Pandu Puteri Malaysia Datuk Tengku Shireen Tengku Suleiman.

Beliau berkata wanita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam keluarga dengan membantu suami, malah mereka juga menjadi pemimpin berwibawa dalam masyarakat dan negara.

Dengan merujuk kepada tema persidangan Persidangan Pandu Puteri kali ini “Our Story”, beliau berkata ia membawa makna yang sangat mendalam kepada wanita, dengan setiap ahli Pandu Puteri dari pelbagai peringkat dan latar belakang mempunyai cerita unik yang berpaksikan nilai dan semangat yang sama.

“Cerita kita adalah tentang keberanian, kebersamaan, kepemimpinan dan khidmat,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan berkenaan di sini hari ini.

Shireen berkata tema itu juga menjadi warisan yang diserahkan secara berterusan dari satu generasi ke generasi seterusnya tanpa putus.

“Saya percaya segala perbincangan, perkongsian dan pengalaman yang diperoleh sepanjang persidangan ini akan memberi manfaat besar kepada hala tuju persatuan kita. Selepas berakhirnya persidangan ini, diharap ia akan membawa semangat baharu, inspirasi segar serta tekad yang lebih utuh untuk terus berkhidmat dalam gerakan Pandu Puteri,” katanya.

Turut hadir di majlis penutup ini ialah Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia Datuk Yeoh Soo Keng dan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Cawangan Kelantan Rosnah Mohamad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan