Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
MAKKAH, 20 Mei (Bernama) -- Seramai 18,453 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci setakat ini, iaitu 58.4 peratus daripada keseluruhan 31,600 jemaah bagi musim haji 1446H/2025M.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata daripada jumlah itu, seramai 17,053 jemaah atau 54.0 peratus kini berada di Makkah manakala 1,400 jemaah (4.4 peratus) masih di Madinah.
"Statistik penerbangan juga menunjukkan 62 daripada 100 penerbangan selamat berlepas ke Tanah Suci, menyaksikan AMAL by Malaysia Airlines (MAS) telah melengkapkan 37 daripada 55 penerbangan yang dijadualkan, iaitu bersamaan 67.3 peratus.
"Syarikat penerbangan Saudi Arabian Airlines (Saudia) pula telah melaksanakan 25 daripada 45 penerbangan atau 55.6 peratus," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Hisham berkata kesemua 47 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah telah selesai manakala kumpulan terakhir (KT) jemaah dijadualkan tiba di Jeddah pada 1 Jun ini.
Bagi musim haji kali ini, kerajaan Arab Saudi meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia dan mereka dijangka tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bermula 29 April manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun, dengan hari wukuf, iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada Khamis, 5 Jun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial