LANGKAWI, 20 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyempurnakan Gracing Ceremony di Segmen Maritim sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 bertempat di Resorts World Langkawi (RWL), di sini.
Acara dimulakan dengan gimik perasmian aksi penyusupan oleh anggota penyelam taktikal dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terjun dari pesawat dan tiba di hadapan pentas dengan membawa kotak hitam berisi kad slot untuk diaktifkan oleh Perdana Menteri.
Demonstrasi seterusnya pula mempamerkan keupayaan bot-bot dan jet ski daripada pelbagai agensi maritim melakukan pergerakan atau manuvra taktikal.
Antara agensi yang terlibat adalah daripada TLDM, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Jabatan Perikanan Malaysia.
Satu lagi demonstrasi keupayaan maritim turut dipersembahkan dengan konsep 'Inter-Agency Coordinated Rescue Mission' iaitu demonstrasi menyelamatkan tebusan yang mempamerkan aksi dan kepakaran gabungan pasukan keselamatan.
Antaranya melibatkan Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM, Unit Gempur Marin PDRM, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) APMM dan Jabatan Laut Malaysia bersama aset permukaan dan udara.
Adegan terakhir adalah Fly-Past atau terbang lintas hormat dan Sail-Past yang melibatkan aset udara serta permukaan yang terlibat dalam demonstrasi sebagai penghormatan kepada tetamu yang hadir di pentas utama.
Anwar kemudiannya mengikuti acara Fleet Review LIMA‘25, satu acara tradisi tentera laut seluruh dunia iaitu pemeriksaan kapal di laut.
Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri disambut Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Segmen Maritim LIMA‘25.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Polis Negara Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin Husain.
Penganjuran LIMA kali ini merupakan agenda nasional yang menjadi keutamaan kerajaan dalam merealisasikan iltizam strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai hab global bagi perkembangan industri maritim dan aeroangkasa.
Pada edisi ke-17 ini, TLDM sebagai agensi utama Segmen Maritim LIMA’25 memberi penekanan terhadap ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah negara maritim dengan aktiviti maritim menjadi penyumbang utama dalam sektor ekonomi negara.
Penganjuran LIMA’25 ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat awam mengenai betapa pentingnya keselamatan dan kestabilan maritim sebagai asas kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sesebuah negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial