AM

Lebih 1,200 Petugas Media Buat Liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

21/05/2025 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Lebih 1,200 petugas media, termasuk 500 wakil agensi berita antarabangsa telah mendaftar untuk membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di Pusat Konvenseyn Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata jumlah kehadiran itu mencerminkan minat yang tinggi terhadap sidang kemuncak kali ini yang dipengerusikan Malaysia.

“Jumlah penyertaan yang tinggi menunjukkan bahawa sidang kemuncak ini amat dinanti-nantikan dan akan dilaporkan oleh pelbagai agensi berita.

“Pendaftaran wartawan antarabangsa telah mencecah lebih 500, jadi kita jangkakan dalam sehari dua ini, angka tersebut akan lebih tinggi dan saya harap para wartawan juga mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan daripada agensi berita negara lain,” katanya pada sidang media mingguan di KLCC hari ini. 

Terdahulu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI meninjau persiapan di Pusat Media Antarabangsa (IMC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di KLCC.

Bersempena dengan persidangan itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadualkan berlangsung iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

Bagi memastikan kelancaran capaian Internet untuk petugas media, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan beberapa kemudahan termasuk tiga unit “5G in a box” bersaiz besar dan 26 unit bersaiz kecil yang dipasang di beberapa lokasi sepanjang persidangan itu.

“Setakat ini, saya mendapati kelajuan Internet amat baik, dengan sesetengah lokasi mencatatkan antara 300 hingga 600 Mbps malah hampir 1 Gbps di pusat media,” katanya.

Beliau berkata langkah itu sebagai komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan kepada petugas media tempatan dan antarabangsa sepanjang berlangsungnya sidang kemuncak itu.

Sementara itu, Fahmi berkata ASEAN 2025 merupakan peluang terbaik bagi menunjukkan Malaysia sebagai negara neutral yang bersedia untuk berdagang dan menjalinkan hubungan dengan negara lain.

Beliau berkata sempena kepengerusian ASEAN, Malaysia juga berpeluang menunjukkan peranan cemerlang sebagai tuan rumah dalam memimpin perbincangan isu serantau dan antarabangsa. 

“Malaysia adalah sebuah negara bersifat neutral. Kita ingin berdagang dan menjalinkan hubungan dengan semua negara yang mahu berbuat demikian dengan kita. Kita akan berkawan dengan mereka yang ingin berkawan dengan kita,” katanya. 

“Saya percaya dengan sepenuhnya bahawa pengurusan dan penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ini mampu membuktikan bahawa negara kita bukan sahaja berkebolehan menganjurkan acara bertaraf antarabangsa, malah dapat memainkan peranan penting dalam mengemudi isu-isu serantau,” katanya.

Fahmi turut mengingatkan orang ramai agar merujuk kepada sumber berita rasmi dan sahih berhubung perkembangan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu.

“Gunakan sumber yang sahih seperti Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) dan RTM, serta media arus perdana lain yang boleh dipercayai. Jangan mudah terperdaya dengan maklumat yang tidak dapat dikenal pasti daripada media sosial,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan