DUNIA

Kemajuan Ketara Dicapai Dalam Usaha Damai Myanmar - Anwar

22/05/2025 12:50 AM

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perkembangan terkini berkaitan krisis Myanmar sebagai “kemajuan yang ketara”, dengan menyebut penglibatan positif bersama semua pihak utama yang terlibat.

Anwar berkata Malaysia aktif memperjuangkan dialog inklusif dan akses lebih baik kepada bantuan kemanusiaan di Myanmar, selaras dengan Konsensus Lima Perkara ASEAN.

Beliau merujuk kepada respons bersepadu baru-baru ini terhadap gempa bumi di kawasan yang terjejas konflik sebagai contoh peningkatan akses kemanusiaan yang dapat dicapai hasil keterlibatan berterusan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Di Myanmar, misalnya, kita dapat berinteraksi dengan semua pihak, itu yang pertama. Kedua, kita berjaya mendapatkan gencatan senjata. Dan ketiga, kita berjaya memastikan semua bantuan kemanusiaan dapat disampaikan ke mana-mana wilayah, tanpa mengira pihak mana yang mengawalnya. Sekarang ini ada tiga kumpulan utama.

“Setakat ini, bagi saya, ini perkembangan yang baik. Kita perlu bertindak dalam kerangka luas Konsensus Lima Perkara untuk memanfaatkan peluang ini. Kita akan rugi besar jika tidak memanfaatkannya dan bekerjasama,” katanya semasa sesi taklimat berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bersama ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Saraswathi Muniappan.

Acara itu dihadiri oleh sejumlah 83 wakil media, merangkumi 42 daripada media tempatan, 18 media antarabangsa, dan 23 lagi yang membuat liputan atas tugasan khas.

Anwar turut berkongsi bahawa inisiatif Malaysia telah mendapat sokongan negara anggota ASEAN yang lain.

“Apabila saya berunding dengan kesemua rakan sejawat, sembilan orang kesemuanya - iaitu Sultan Brunei (Sultan Hassanal Bolkiah) sehinggalah Presiden Filipina Bongbong (Ferdinand Marcos Jr.), Perdana Menteri Vietnam (Pham Minh Chinh), Presiden Indonesia (Prabowo Subianto), dan Perdana Menteri Singapura (Lawrence Wong), tiada seorang pun yang berkata berhati-hati atau tunggu dahulu...tidak.

“Semuanya menyatakan ini langkah yang baik dan kita perlu gunakan peluang ini untuk melibatkan semua pihak,” katanya.

Anwar menambah bahawa usaha Malaysia telah membuahkan hasil positif, apabila pihak-pihak yang bertelagah di Myanmar kini mula beralih kepada rundingan secara tidak langsung.

“Saya rasa sudah tiba masanya mereka berbincang. Rakyat Myanmar sendiri yang perlu menentukan masa depan mereka.

“Kita tidak menetapkan syarat ketat, seperti menuntut demokrasi menjelang tahun depan atau menentukan bagaimana pilihan raya mesti dijalankan. Saya sendiri tidak pasti negara mana yang layak mengajar negara lain cara melaksanakan pilihan raya dengan betul. Jadi, biarlah mereka yang tentukan,” katanya.

Mengenai isu Laut China Selatan, Anwar berkata ASEAN perlu meneruskan penglibatan secara membina dengan China.

“Saya fikir apa yang perlu kita lakukan dalam ASEAN, terutamanya antara ASEAN dan China, adalah memastikan penglibatan ini diteruskan, jika bukan secara rasmi, sekurang-kurangnya secara tidak rasmi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan