AM

Persiapan Akhir PMR 2025 Johor Giat Dijalankan

22/05/2025 07:11 PM

JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) -- Persiapan terakhir sedang giat dijalankan sempena penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Johor yang akan berlangsung di Toppen Shopping Centre di sini selama tiga hari bermula esok hingga 25 Mei ini.

Bertemakan 'Belia MADANI, Yakin Boleh!' program itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 petang esok.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi dengan Kementerian Belia dan Sukan selaku kementerian peneraju dan Kerajaan Negeri Johor sebagai tuan rumah adalah sebahagian daripada usaha berterusan di bawah kerangka Malaysia MADANI untuk membawa perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat di negeri-negeri terpilih.

PMR 2025 Johor akan membawa lebih 100 perkhidmatan secara langsung yang disediakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor di mana sebanyak 24 reruai dijangka beroperasi bagi memberikan kemudahan kepada pengunjung untuk berurusan. 

Turut diadakan Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian, slot libat urus pelbagai topik serta isu semasa oleh kementerian dan agensi bersama pengunjung selain aktiviti sampingan antaranya Sambutan Hari Belia Negara, pertandingan sukan seperti badminton, ping pong, bola jaring, pickle ball dan catur, eSukan (Mobile Legend), aerobikton, Temasya Komedi Rakyat dan Jualan Makan Viral.

Program itu, yang bermula dari 10 pagi hingga 9 malam pada Jumaat dan Sabtu serta dari 10 pagi hingga 6 petang Ahad, turut melibatkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat oleh syarikat berkaitan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan