EKONOMI

Neways Dari Belanda Buka Kemudahan Pembuatan Berteknologi Tinggi Di Selangor

22/05/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Neways Electronics yang berpangkalan di Belanda, telah membuka kemudahan pembuatan berteknologi tinggi di Selangor, sekali gus mengukuhkan strategi pertumbuhannya dan meletakkan syarikat pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan serantau yang semakin meningkat sambil memperluas jejak pembuatan globalnya.

Dalam satu kenyataan bersama, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Selangor dan Neways berkata kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah Asia dan keunggulan dalam sektor pembuatan semikonduktor menjadikannya lokasi yang ideal untuk syarikat Belanda itu menubuhkan kemudahan pembuatan terbaharunya.

“Neways teruja untuk memanfaatkan kelebihan strategik Malaysia bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya di rantau ini dan di rantau seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Majlis pelancaran kemudahan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong bersama Timbalan Duta Besar Kedutaan Belanda di Malaysia Eva Oskam.

Liew berkata pelaburan Neways merupakan satu undi keyakinan yang kukuh terhadap kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama untuk industri elektronik termaju dan yang berkaitan dengan semikonduktor.

“Kehadiran Neways akan meningkatkan keupayaan kita dalam elektronik berketepatan tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem semikonduktor negara.

“Pelaburan ini juga menandakan momentum positif yang dihasilkan oleh Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), bertujuan membina landskap semikonduktor yang berdaya tahan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata pelaburan Neways mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam segmen pembuatan elektronik berteknologi tinggi dan berkeandalan tinggi yang menyokong industri kritikal seperti perubatan, automasi industri dan automotif.

“Kemudahan ini membuka peluang baharu bagi vendor tempatan untuk menyertai rantaian nilai global.

"Peranan MIDA dalam memudahkan pelaburan ini menunjukkan komitmen kami untuk menarik dan memupuk pelaburan yang sejajar dengan agenda transformasi ekonomi Malaysia," katanya.

Menurut kenyataan itu, kemudahan Neways yang telah memulakan pengeluaran bertujuan menyokong pertumbuhan yang bermakna dengan rancangan untuk mengembangkan tenaga kerjanya kepada lebih 200 pekerja.

“Syarikat berhasrat untuk meningkatkan operasi, menambahkan jumlah pengeluaran dan memperluaskan portfolio pelanggannya.

"Langkah strategik ini menekankan dedikasi kami untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang dan meningkatkan kecekapan operasi," kata Neways.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan