KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), khususnya Unit Jejak Asnaf, telah diarah menjejaki seorang wanita mualaf yang tular di media sosial baru-baru ini selepas meluahkan hasrat keluar daripada agama Islam kerana didakwa tidak menerima bantuan dan dianiaya suami.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata ini bagi membolehkan bantuan disalur dengan segera.
“Saya telah menonton video tular tersebut dan telah menghubungi pihak MAIWP agar mencari wanita itu untuk kita berikan bantuan.
“Pada masa sama, saya rasa ada keperluan untuk kita berjumpa dengannya bagi mendapatkan maklumat lanjut kerana banyak perkara yang masih tidak jelas,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama badan bukan kerajaan dan rakan strategik MAIWP 2025 di sini hari ini.
Beliau turut menggesa wanita terbabit atau mana-mana pihak yang mengenali individu itu untuk tampil menghubungi MAIWP bagi membolehkan tindakan lanjut diambil dan bantuan sewajarnya diberikan.
Mengenai dakwaan wanita itu dipukul dan ditinggalkan suami dalam keadaan mengandung, Mohd Na'im berkata sekiranya perkara itu benar, mangsa berhak membubarkan perkahwinannya mengikut undang-undang syariah sedia ada.
“Rasulullah SAW sebelum wafat meninggalkan wasiat yang penting iaitu supaya suami-suami tidak menzalimi isteri.
"Bila seorang wanita masuk Islam kerana perkahwinan, tanggungjawab suami untuk membimbing dan menjaga mereka menjadi lebih besar,” katanya sambil menyeru masyarakat Islam lebih prihatin terhadap golongan mualaf yang memerlukan sokongan dan bantuan agar mereka tidak rasa terpinggir sehingga hilang keyakinan terhadap agama.
“Kita perlu ada sifat cakna atau peduli. Saya juga ingin menasihatkan kepada pihak masjid, surau atau mana-mana agensi agama Islam termasuk MAIWP untuk menyantuni mereka yang datang untuk mendapatkan bantuan dengan baik," katanya.
Beliau berkata setakat Mei tahun ini, MAIWP telah mendaftarkan 1,098 mualaf di Wilayah Persekutuan berbanding 968 orang pada 2024 dan menyalurkan bantuan berjumlah RM9.3 juta.
Mohd Na'im turut memberi jaminan bahawa semua agensi di bawah pentadbirannya akan membantu setiap individu termasuk mualaf yang memerlukan sokongan, perlindungan dan bimbingan.
“Saya tidak mahu hanya kerana satu kes terlepas pandang, agensi agama dipersalah dan dipandang serong. Kita akan terus memperbaiki dan memastikan mereka yang memerlukan akan dibantu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial