Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) telah meminta kerajaan untuk menubuhkan Majlis Digital Negara dalam Belanjawan 2026 untuk menyepadukan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan mengekalkan daya tarikan Malaysia kepada pelabur.
Pengerusi PIKOM Alex Liew berkata dasar yang jelas adalah penting untuk pertumbuhan digital.
Beliau berkata Malaysia telah berjaya menarik pelaburan pusat data hasil daripada keadaan yang menggalakkan seperti ketersediaan tanah dan infrastruktur.
Bagaimanapun, semakan tarif baru-baru ini, pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan keperluan Tabung Universal Service Provision (USP) telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur.
"Konsistensi adalah penting dan tanpa iklim pelaburan yang jelas dan boleh diramal, Malaysia berisiko terlepas peluang kepada negara jiran yang bersaing secara agresif untuk modal sama. Justeru, Belanjawan 2026 sepatutnya menghantar isyarat kukuh kestabilan dan mesra pelabur untuk mengekalkan momentum dalam sektor kritikal ini," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, PIKOM telah mengesyorkan geran pendigitalan dipertingkatkan, sebanyak RM10,000 untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) dan sehingga RM50,000 untuk penggunaan pemasaran digital, terikat dengan hasil yang boleh diukur.
Liew berkata PKS membentuk lebih 97 peratus perniagaan Malaysia, bagaimanapun kebanyakannya, terutamanya perusahaan mikro, bergelut dengan penggunaan digital dan tanpa campur tangan, syarikat berkenaan berisiko ketinggalan ke belakang, melemahkan ekonomi yang lebih luas.
"Sokongan juga harus diberikan kepada usahawan wanita dan kumpulan terpinggir. Menerusi pendigitalan tulang belakang ekonomi, Malaysia boleh meningkatkan produktiviti, meluaskan asas cukainya dan memupuk pertumbuhan negara yang inklusif," katanya.
Mengenai percukaian, PIKOM mencadangkan Belanjawan 2026 memasukkan potongan cukai dua kali untuk latihan digital, meningkatkan inisiatif peningkatan kemahiran dan kemahiran semula dan penjajaran yang lebih rapat antara kurikulum pendidikan dan permintaan industri.
Pada masa sama, Liew berkata pengekalan bakat memerlukan kajian semula struktur gaji dan laluan kerjaya.
"Tenaga kerja yang berdaya saing, bersedia untuk masa depan adalah asas ekonomi dipacu inovasi Malaysia. Selain itu, kami menyokong supaya setiap rakyat Malaysia diberikan kredit latihan tahunan untuk peningkatan kemahiran," katanya.
PIKOM juga menggesa kerajaan memperuntukkan dana untuk kempen keselamatan digital diterajui pertubuhan bukan kerajaan, meluaskan program kesedaran berasaskan sekolah dan menyediakan insentif kepada syarikat untuk menubuhkan Pusat Operasi Keselamatan.
"Ekosistem digital yang selamat bukan sahaja akan melindungi rakyat Malaysia tetapi juga menarik pelabur yang mencari kestabilan dan daya tahan," tambahnya.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial