AM

Wong Chun Wai Dilantik Semula Sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Bernama

08/10/2025 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Wong Chun Wai dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) manakala Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azhar Abdul Hamid dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Penyeliaan agensi berita itu.

Pelantikan mereka telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan berkuat kuasa pada 1 Sept 2025 hingga 31 Ogos 2027.

Wong, 64, merupakan Tokoh Wartawan Negara yang dilantik sebagai Pengerusi Bernama sejak 1 Sept 2023.

Bekas penasihat The Star Media Group Bhd itu, yang berpengalaman 40 tahun dalam industri media, pernah berkhidmat sebagai anggota Lembaga Pengelola Bernama dari 2004 hingga 2010 dan Majlis Penyeliaan agensi berita itu dari 2010 hingga 2014.

Berasal dari Pulau Pinang, Wong merupakan siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Sains Politik dan Sejarah pada 1984, serta pernah mengikuti pengajian di Jabatan Persuratan Melayu di universiti sama.

Beliau pernah menjadi Profesor Adjung di Sekolah Siswazah Othman Yeop Abdullah di bawah Universiti Utara Malaysia serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di UKM.

Wong juga pernah mengikuti kursus-kursus kepimpinan dan kewangan di beberapa universiti terkemuka di Amerika Syarikat termasuk University of Southern California serta University of Stanford.

Pada 2003, beliau menerima anugerah berprestij Wartawan Terbaik bagi kategori Berita Rencana daripada Institut Akhbar Malaysia dan pada tahun sama, majalah perniagaan serantau Asia Inc telah menamakan Wong dalam senarai 50 teratas golongan muda yang menggerak serta menggoncang Asia. 

Wong juga pernah meraih beberapa anugerah berprestij antaranya Anugerah Personaliti Terbaik Media di Anugerah SEBA 2024; Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi Kepimpinan dalam Industri Media daripada Forum Ekonomi China Dunia di Chongqing pada 2014 serta gelaran Pemimpin Media Tahun 2015 daripada McMillan Woods, sebuah firma perakaunan terkemuka.

Lembaga Pengelola Bernama terdiri daripada seorang Pengerusi dan 20 anggota merangkumi wakil kerajaan dan wakil organisasi media yang menjadi pelanggan Bernama pula bertanggungjawab memantau pelaksanaan dasar serta prosedur berkaitan dengan agensi.

Lembaga Pengelola juga bertanggungjawab melaksanakan matlamat Bernama antaranya mencari dan menyampaikan berita yang lengkap, objektif serta adil tentang hal-hal berkepentingan awam dan negara sama ada di dalam mahupun luar negara.

Sementara itu, Azhar, 61, menggantikan Datuk Muhammad Jamil Hussin, juga Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Ogos lepas.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Anak jati Batu Pahat itu mula berkhidmat sebagai Majistret di Pahang pada 1989 sebelum dilantik sebagai Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Temerloh.

Azhar pernah menyandang beberapa jawatan penting seperti Timbalan Pendakwa Raya Unit Pendakwaan Cawangan Kuala Lumpur, Pengurus Besar Bahagian Perundangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Kedah.

Jawatan lain termasuk Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu serta Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara.

Majlis Penyeliaan Bernama diketuai seorang Hakim Mahkamah Tinggi sebagai Yang Dipertua dengan empat anggota lain berperanan memastikan agensi berita itu sentiasa mematuhi peruntukan Akta BERNAMA 1967 dalam melaksanakan objektif dan peranannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan