AM

Rakyat Malaysia Mula Banjiri Axiata Arena, Semarakkan Himpunan Solidariti Bersama Gaza

08/10/2025 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan kemerdekaan Palestin terus menyala apabila ribuan rakyat pelbagai kaum dan usia mula membanjiri Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka, di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Seawal 5 petang, lautan manusia berpakaian putih, sebagai lambang keamanan dan perpaduan, mula memenuhi lokasi dengan membawa bendera Palestin serta sepanduk bertulis mesej seperti “Don’t stop talking about Palestine”, sebagai tanda nekad untuk terus bersuara menentang kekejaman Zionis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penaung Sumud Nusantara, dijadualkan tiba kira-kira 9 malam, untuk menyampaikan Pidato Kemuncak Himpunan Solidariti Bersama Gaza selepas sesi penyerahan memorandum daripada Global Sumud Flotilla (GSF), yang membawa suara kemanusiaan dari seluruh dunia.

Beberapa individu daripada 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai pelayaran GSF antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, selebriti Ardell Aryana, Heliza Helmi serta Zizi Kirana turut dijangka berkongsi pengalaman pada perhimpunan berkenaan.

Selain itu, Solat Hajat dan Munajat Perdana untuk Gaza turut diadakan selepas waktu maghrib sebagai pengisian acara himpunan hari ini, selain deklamasi puisi oleh personaliti media Ahmad Fedtri Yahya dan persembahan daripada Munsyid Malaysia.

Sementara itu, beberapa peserta yang ditemui Bernama berkongsi semangat dan pendirian teguh mereka dalam menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Bagi seorang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Siti Masruhah Dahli, 22, berkata kehadirannya bersama-sama rombongan sebanyak 30 orang membawa harapan supaya himpunan kali ini dapat menyemarakkan lagi semangat kemanusiaan serta empati dalam diri semua rakyat terhadap nasib yang menimpa penduduk Palestin.

Seorang penjawat awam, Mohd Kamal Hashim, 55, pula berkata kedatangannya bertujuan menzahirkan sokongan padu kepada rakyat Palestin dan semua sukarelawan misi GSF.

“Malam ini kami mahu tunjukkan kepada dunia bahawa kita akan bersatu hati demi Palestin. Insya-Allah,” katanya yang hadir ke himpunan itu bersama dengan 40 rakan sekerjanya.

Nazmil Mohamad, 21, berkata perhimpunan ini bukan sekadar penyertaan, tetapi juga pendirian untuk kemanusiaan dan dia juga mendapat inspirasi untuk hadir ke perhimpunan ini selepas mendengar ucapan Anwar mengenai perjuangan Palestin.

Nazmil, yang berasal dari Kerala, selatan India, berkata dia pernah menghadiri perhimpunan sama di tanah airnya dan bersedia melaungkan perjuangan dan pembebasan bumi Palestin itu di sini.

“Saya rasa ramai tidak menyedari berlaku pembunuhan beramai-ramai. Mereka cuba normalisasikannya, tiada langsung sifat perikemanusiaan," katanya dan menambah dia berharap lebih ramai orang bersuara untuk Palestin.

Serangan ketenteraan Israel terhadap Gaza sejak Oktober 2023 mengorbankan lebih 67,000 rakyat Palestin yang majoriti terdiri daripada golongan wanita, kanak-kanak dan orang awam, malah telah memusnahkan sebahagian besar infrastruktur seperti hospital dan sekolah. 

Ketika ini, kira-kira 2.1 juta penduduk Gaza hidup dalam keadaan bergelut dengan kekurangan makanan, air bersih dan rawatan kesihatan, manakala banyak kawasan kediaman dan bangunan awam dimusnahkan rejim Zionis Israel.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan