LABUAN, 9 Okt (Bernama) -- Kegiatan memancing bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut manakala dua lagi ditemukan tidak sedarkan diri dalam kejadian ombak besar di Pantai Pohon Batu di sini.
Dalam kejadian kira-kira 11.10 malam Rabu itu tiga sahabat dikenali sebagai Zain Iden, 50, Isa Iden dan Untung Jurung masing-masing berusia 53 tahun dipercayai sedang memancing berhampiran pantai ketika laut bergelora.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan Abdul Rahman Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.11 malam dan pasukan penyelamat dari Balai Bomba Layangan yang terletak kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi kejadian segera dihantar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan operasi kami mendapati dua mangsa tidak sedarkan diri, manakala seorang lagi lemah tetapi masih memberi respons,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Abdul Rahman berkata Zain Iden disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi, manakala dua lagi mangsa dibawa ke Hospital Labuan dan dilaporkan stabil.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti memancing atau sebarang kegiatan di kawasan pantai ketika angin kencang dan laut bergelora terutama pada waktu malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial