AM

Kerjasama ASEAN+3 Penting Ke Arah Memperkasa Wanita Melalui Pendigitalan

09/10/2025 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- ASEAN dan rakan kongsi Campur Tiga perlu memperkukuh kerjasama dalam usaha memperkasa golongan wanita melalui pendigitalan dengan memfokus kepada pembangunan kapasiti, inovasi serta platform rentas sempadan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dalam ucaptama beliau di Forum ASEAN+3 mengenai Wanita dan Pendigitalan di sini hari ini, mencadangkan tiga bidang utama kerjasama sebagai hala tuju serantau dalam menyokong pemerkasaan wanita melalui teknologi.

"Pertama, pembangunan kapasiti. Kita perlu berkongsi modul latihan dan literasi digital supaya wanita di kawasan luar bandar di semua negara dapat memanfaatkan amalan terbaik.

"Kedua, pembiayaan dan hab inovasi. Kita perlu meneroka potensi sokongan kepada syarikat pemula, koperasi dan perusahaan yang dikendalikan oleh wanita dengan menyediakan akses yang lebih mudah kepada pembiayaan, teknologi dan bimbingan.

"Ketiga, platform serantau. Dengan mempromosikan e-dagang rentas sempadan, kita boleh memberikan akses kepada pasaran yang lebih luas kepada usahawan wanita luar bandar, bukan sahaja di dalam ASEAN tetapi juga di Asia Timur," katanya sambil menambah bahawa tiada satu negara pun yang mampu bergerak secara solo dalam era pendigital yang pesat, dan kerjasama adalah kunci utama kejayaan.

Turut hadir Duta Republik Demokratik Rakyat Laos ke Malaysia Thepthavone Sengmany, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Setiausaha Kedua Misi Jepun ke ASEAN Sae Kobayashi serta Penolong Pengarah merangkap Ketua Bahagian Pembasmian Kemiskinan dan Gender Sekretariat ASEAN Miguel Musngi.

Rubiah turut mengulangi komitmen Malaysia untuk menjalinkan kerjasama rapat dengan ASEAN dan rakan kongsi Campur Tiga dalam membina masa depan digital yang inklusif serta tidak meminggirkan mana-mana wanita, keluarga atau masyarakat.

"Pada akhirnya, apabila wanita di luar bandar maju, komuniti di kawasan itu turut berkembang dan apabila komuniti luar bandar makmur, negara kita akan menjadi lebih kuat serta berdaya tahan. Peralatan digital membolehkan wanita di luar bandar menjual produk, mempelajari kemahiran, mengakses makluamat mengenai kesihatan dan menembusi pasaran baharu. 

"Pendigitalan bukan sekadar teknologi, ia adalah peluang, pemerkasaan dan kesaksamaan. Kisah wanita dan pendigitalan sebenarnya adalah kisah masa depan ASEAN. Jika kita berjaya memperkasakan wanita terutama di luar bandar, kita akan berjaya mewujudkan ekonomi digital yang inklusif, dinamik dan berdaya saing,” katanya.

Merujuk kepada Pelan Tindakan Rangka Kerja ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (2021-2025), Rubiah berkata aspirasi bersama ASEAN adalah untuk melihat wanita bukan sahaja menerima manfaat daripada proses pendigitalan malah turut menjadi peneraju dalam membentuk masa depan digital itu sendiri.

"Ia menetapkan keperluan terhadap mekanisme institusi bagi menggalakkan penglibatan wanita dalam pembangunan luar bandar dan membuat keputusan sekali gus memastikan pembangunan yang dilaksanakan tidak meminggirkan golongan wanita,” katanya sambil menambah bahawa pelan tindakan itu bertujuan mempercepat transformasi luar bandar dan mengurangkan kemiskinan dengan secara khusus mengintegrasikan wanita luar bandar, golongan belia dan kumpulan rentan ke dalam program pembangunan.

Beliau berkata Pelan Induk Digital ASEAN 2025 menyokong kesemua matlamat ini dengan memberi tumpuan kepada transformasi digital yang inklusif serta usaha merapatkan jurang digital manakala Deklarasi Pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2025 memperkukuh komitmen serantau bagi memastikan wanita tidak tercicir dalam ekonomi digital.

Daripada perspektif Malaysia, Rubiah berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah yang signifikan ke arah pendigitalan luar bandar menerusi inisiatif JENDELA yang berperanan meningkatkan kualiti dan liputan jalur lebar khususnya di kawasan kurang liputan bagi merapatkan jurang digital.

"JENDELA telah mencatat pencapaian yang ketara malah ada yang melebihi sasaran asal. Sebagai contoh, kita telah berjaya menghubungkan 839 komuniti luar bandar dan Orang Asli melalui sambungan satelit termasuk kawasan paling sukar dicapai,” katanya.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024, akses Internet dalam kalangan isi rumah meningkat kepada 90.3 peratus pada 2024 berbanding 89.8 peratus tahun sebelumnya, manakala bagi isi rumah di kawasan bandar adalah 98.8 peratus.

Rubiah turut mengetengahkan platform Desamall di bawah kementerian itu yang menghubungkan usahawan luar bandar dengan pasaran lebih luas dan berkata sejak dilancarkan pada 2019, ia telah berjaya menarik lebih 7,100 usahawan dengan lebih 80 peratus daripadanya adalah wanita.

Beliau berkata Program Pendigitalan Usahawan (PPU) telah memberikan kemahiran pernigaan digital yang penting kepada 4,450 usahawan termasuk akses kepada pasaran, pembiayaan dan penciptaan kandungan.

Rubiah berkata menerusi agensi latihan kementerian itu, Institut Kemajuan Desa (INFRA), pelbagai program latihan dan kepimpinan sedang dilaksanakan untuk memperkukuh penyertaan wanita dalam ekonomi digital.

Seiring dengan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, dua acara utama telah dianjurkan iaitu Dialog Pelbagai Pihak ASEAN mengenai Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar ASEAN dari 7 hingga 8 Okt, dan Forum ASEAN+3 mengenai Wanita dan Pendigitalan pada 9 Okt . 

Acara-acara ini menghimpunkan lebih 100 peserta dari ASEAN dan negara-negara Campur Tiga (China, Jepun dan Republik Korea) bagi membincangkan strategi untuk merapatkan jurang digital serta mempromosikan kesaksamaan gender. 

Sesi dialog itu bertujuan memperkukuh pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar ASEAN dengan memfokus kepada kerjasama serantau bagi transformasi luar bandar yang mampan dan inklusif manakala sesi forum meneroka cabaran yang dihadapi wanita luar bandar dalam mengakses teknologi digital, pendidikan dan perkhidmatan kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan