AM

Selangor Lancar Pelan Digital Lima Tahun Perkukuh Status Hab Teknologi

09/10/2025 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Pelan Tindakan Masa Hadapan Digital Selangor (DxF) 2026-2030, pelan hala tuju menyeluruh yang dirangka bagi memperkukuh kedudukan sebagai hab ekonomi digital utama Malaysia melalui inovasi, peluasan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi inklusif.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata inisiatif itu selaras dengan visi Malaysia MADANI, khususnya di bawah teras inovasi yang menekankan nilai ihsan, keterangkuman dan kemampanan dalam pembangunan negara.

“Hari ini bukan sekadar pelancaran satu pelan, tetapi menandakan permulaan lembaran baharu dalam perjalanan berani dan inklusif digital Selangor. Melalui pelan ini, kita mewujudkan peluang untuk inovasi, memperkasakan komuniti dan membina asas bagi pertumbuhan digital yang mampan.

“Ini bukan semata-mata dokumen dasar, sebaliknya kesinambungan aspirasi untuk membangunkan dan menjadikan Selangor sebagai negeri pintar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran DxF 2026-2030 di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Mohammad Fahmi berkata pelan lima tahun itu menetapkan hala tuju strategik untuk menjadi negeri berdaya digital dan dipacu inovasi dengan menumpukan empat objektif utama, iaitu membolehkan pertumbuhan ekonomi baharu melalui peluasan infrastruktur digital serta mengurangkan kos pembangunan dengan mengoptimumkan aset sedia ada.

Beliau berkata objektif utama lain adalah mempercepat penerapan digital dalam sektor kerajaan dan industri, selain mengenal pasti peluang pelaksanaan 5G bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta kecekapan.

Pelan itu bukan hanya berkisar kepada pembinaan menara fizikal, rangkaian gentian dan kabel, tetapi tentang mewujudkan digital yang menghubungkan rakyat kepada peluang serta komuniti kepada inovasi.

“Bayangkan data masa nyata membantu menjangkakan keperluan rakyat sebelum timbul sebarang masalah, dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana menggunakan alat digital untuk menembusi pasaran global.

"Selain inovator muda membangunkan penyelesaian yang bukan sahaja berkhidmat kepada Malaysia tetapi juga dunia. Akhirnya, kita akan mempunyai perkhidmatan kerajaan yang lebih pintar, cekap dan produktif,” katanya.

Beliau berkata DxF merangkumi 30 inisiatif termasuk pembangunan aplikasi kewarganegaraan yang disatukan, awan persendirian secara berpusat, infrastruktur digital berdaulat bagi pembangunan kecerdasan buatan (AI) berdaulat serta penyelesaian keselamatan siber.

“Pelaksanaan itu turut melibatkan pembiayaan sebanyak RM160 juta dalam tempoh lima tahun, sama ada dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan atau melalui kerjasama dengan sektor swasta bagi membangunkan sistem digital itu. 

“Saya menyeru semua rakan dalam ekosistem teknologi, pelabur, inovator dan usahawan supaya melihat DxF bukan sekadar pelan negeri tetapi sebagai peluang bersama untuk membentuk masa depan digital Malaysia.

"Pastikan transformasi ini kekal berpaksikan manusia, memartabatkan komuniti, menyemai bakat dan merapatkan jurang digital,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan