EKONOMI

Labuan FSA Beri Kelulusan Bersyarat Kepada Dua Entiti Bagi Operasi Bank Digital Islam

10/10/2025 01:01 PM

LABUAN, 10 Okt (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) memberikan kelulusan bersyarat kepada Green Digital Bank Corp dan Fasset Islamic Digital Bank Ltd untuk beroperasi sebagai bank digital Islam dalam Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).

Labuan FSA menjelaskan kelulusan yang diberikan pada 2025 itu mengikut Garis Panduan Penubuhan Bank Digital Islam Labuan berlandaskan Keperluan Sandbox Pengawalseliaan (iBOX) dan Seksyen 63 Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan 2010.

“Kelulusan ini membolehkan kedua-dua entiti menjalankan perniagaan perbankan digital Islam di Labuan IBFC selepas semua syarat kawal selia dipenuhi,” menurut Labuan FSA dalam kenyataan hari ini.

Labuan FSA telah memperkenalkan Sandbox Kewangan Digital pada 2024 sebagai sebahagian inisiatif di bawah Pusat Aset Digital Islam (IDAC), yang dilancarkan pada 2022 untuk menarik lebih banyak peserta aset digital dan teknologi kewangan ke Labuan IBFC serta mengukuhkan kedudukannya dalam kewangan Islam digital.

Labuan FSA menjelaskan mengikut kelulusan bersyarat itu, kedua-dua entiti tidak dibenarkan memulakan operasi perniagaan sehingga mereka memenuhi semua keperluan operasi dan hemat yang ditetapkan oleh pihaknya.

Prasyarat mandatori itu bertindak sebagai langkah perlindungan penting untuk memastikan tahap kesiapsiagaan, tadbir urus yang kukuh dan pematuhan penuh terhadap peraturan sebelum lesen sementara dikeluarkan dan fasa operasi dimulakan.

Pemberian kelulusan bersyarat itu merupakan satu pencapaian penting dalam memajukan agenda kewangan digital Labuan IBFC serta menggalakkan pembangunan penyelesaian kewangan yang inovatif.

Labuan FSA akan terus memantau rapat usaha itu bagi memastikan semua peserta Sandbox mematuhi piawaian yang ditetapkan sebelum mereka dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

Pendekatan sedemikian membuktikan komitmen Labuan FSA dalam mempermudah inovasi di samping memastikan kestabilan pasaran dan perlindungan pengguna.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan