EKONOMI

Belanjawan 2026: RM230 Juta Disediakan Kepada AIM Tawar Pembiayaan Usahawan Wanita - PM Anwar

10/10/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Belanjawan 2026 menyediakan sejumlah RM230 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk terus menawarkan pembiayaan kepada usahawan wanita. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu menjadikan dana AIM yang tersedia berjumlah RM2.9 bilion untuk manfaat lebih 300,000 sahabat usahawan.

"Prestasi bayaran balik Amanah Ikhtiar Malaysia amat cemerlang iaitu 99.97 peratus," kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Anwar turut berkata Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan SME Bank turut menyediakan pembiayaan RM270 juta bagi menyokong usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita.

Anwar yang juga Menteri Kewangan hari ini membentangkan Belanjawan 2026 dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM419.2 bilion.

Ketika membentangkan belanjawan itu di Parlimen petang Jumaat, Anwar berkata daripada jumlah tersebut, RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).

Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan