AM

Belanjawan 2026 Progresif Dan Berhemat - Hajiji

10/10/2025 07:11 PM

KOTA KINABALU, 10 Okt (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu belanjawan yang progresif dan berhemat serta mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap pelbagai lapisan masyarakat.

Hajiji berkata belanjawan yang menjurus kepada pembangunan ekonomi negara itu turut memberi perhatian kepada Sabah menerusi peruntukan pembangunan bernilai RM6.9 bilion.

“Pertama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang telah membentangkan belanjawan negara... tanpa meminggirkan kepentingan pelbagai masyarakat, terutama mereka yang kurang berkemampuan,” katanya selepas mendengar siaran langsung pembentangan Belanjawan 2026 bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ di Dewan Rakyat hari ini.

Hajiji bersama Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah Datuk Seri Safar Untong dan beberapa pegawai kakitangan kerajaan negeri mendengar pembentangan itu di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata antara komponen penting dalam belanjawan berkenaan ialah Projek Talian Penghantaran Southern Link Sabah berjumlah RM765 juta, yang akan memperkukuh infrastruktur tenaga di negeri ini.

Sabah antara negeri yang menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam Belanjawan 2026, dengan jumlah yang meningkat berbanding RM4.4 bilion pada 2022, menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap kemajuan negeri itu.

Anwar menjelaskan peningkatan itu mencerminkan komitmen nyata kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan, khususnya dari segi prasarana asas antara Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain, sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam belanjawan itu, antara perkara yang dinyatakan oleh Perdana Menteri termasuk pembinaan jalan baharu dari Kalabakan ke Simanggaris di sempadan Malaysia-Indonesia, menaik taraf Kolam Pengoksidaan Inanam kepada Loji Rawatan Kumbahan Serantau serta pemasangan paip transmisi dan agihan utama termasuk tangki simpanan di sebahagian kawasan Bandar Tawau.

Anwar turut memaklumkan kerajaan menyediakan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah, meskipun kawal selia bekalan elektrik telah diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri bermula tahun lepas.

Bagi projek lebuh raya pula, Anwar berkata sebanyak RM1.67 bilion disediakan tahun hadapan untuk projek Pan Borneo Sabah, bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual dan melengkapkan Pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A yang telah siap.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan