AM

Belanjawan 2026 Perkasa Daya Saing Koperasi - ANGKASA

11/10/2025 10:39 AM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyifatkan peruntukan RM50 juta kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di bawah Belanjawan 2026 sebagai bukti komitmen kerajaan mengiktiraf gerakan koperasi sebagai komponen penting dalam ekosistem ekonomi negara.

Menurut ANGKASA, pelbagai inisiatif dan tumpuan terhadap bantuan bersasar, pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana, serta pembangunan ekonomi komuniti dijangka akan turut memberi kesan positif kepada pertumbuhan dan keupayaan koperasi untuk terus menjadi pemacu ekonomi rakyat di pelbagai peringkat.

"ANGKASA turut menyambut baik tumpuan Bajet 2026 terhadap sektor strategik seperti pertanian, teknologi hijau dan ekonomi digital yang bakal membuka peluang besar kepada koperasi untuk turut terlibat dalam bidang bernilai tinggi.

"ANGKASA berpandangan bahawa peluasan akses kepada dana pembangunan dan program latihan sektor dinyatakan kepada koperasi akan memperkukuh keupayaan gerakan ini dalam meningkatkan kecekapan operasi serta memperluas manfaat ekonomi kepada anggotanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai badan puncak yang mewakili lebih 16,284 koperasi aktif di seluruh negara dengan keanggotaan melebihi 7.2 juta individu dan perolehan tahunan melebihi RM68.2 bilion, ANGKASA turut memandang positif usaha kerajaan memperluas pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bukan sahaja membantu rakyat membeli barangan keperluan asas, malah memberi manfaat langsung kepada kedai koperasi dan kedai runcit tempatan.

Menurut ANGKASA, penglibatan lebih banyak koperasi sebagai pengedar sah barangan SARA di seluruh negara akan memperkukuh ekonomi tempatan, memperluas pasaran produk buatan tempatan serta mewujudkan peluang perniagaan baharu kepada koperasi luar bandar.

“ANGKASA komited bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan koperasi memainkan peranan aktif dalam memperkasa rantaian bekalan makanan dan sektor peruncitan di bawah program ini,” katanya.

Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dalam kenyataan sama berkata Belanjawan 2026 mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat serta keupayaan koperasi untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian nasional.

“ANGKASA amat menghargai komitmen Kerajaan dalam memperkukuh peranan koperasi sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi rakyat. Bajet 2026 membuka ruang dan peluang untuk memperluas impak koperasi dalam bidang ekonomi berimpak tinggi.

"ANGKASA yakin dengan sokongan dan dasar yang tepat, koperasi mampu menjadi rakan strategik kerajaan dalam mencapai matlamat Malaysia Madani serta menjadikan ekonomi negara lebih saksama dan berdaya tahan,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan belanjawan yang mengumpulkan sumber berjumlah RM470 bilion bagi 2026, yang memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi dan sokongan kepada perniagaan kecil di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan.

Belanjawan 2026 bertemakan 'Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat' turut mengoptimumkan sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion, berbanding RM452 bilion pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan