KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2025 mengetengahkan kecerdasan buatan (AI) ketika kalangan inovator, syarikat pemula niaga dan pembuat dasar global berkumpul di Persidangan Inovasi AI 2025 di sini.
Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) selaku penganjur acara menjelaskan SDEC 2025 menekankan kesediaan Malaysia untuk menerajui inovasi dipacu AI, dengan menghimpunkan perintis industri bagi meneroka cara AI membentuk semula perniagaan, kerajaan dan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata Hari Inovasi AI menunjukkan kerjasama dan insan boleh membentuk masa depan teknologi.
“Selangor sedang membina infrastruktur dan ekosistem untuk Malaysia beralih daripada menjadi pengguna teknologi kepada negara yang mencipta inovasi. Bersama-sama, kita sedang mempertingkatkan keupayaan AI Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
SDEC 2025 selama empat hari dan berakhir hari ini itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Sidec, anak syarikat Invest Selangor Bhd, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Plug and Play APAC dalam acara itu, menandakan inisiatif modal teroka yang diketuai kerajaan negeri pertama di Malaysia yang memberi tumpuan khusus kepada inovasi AI dan semikonduktor.
Sidec menjelaskan sempena persidangan ini, Xendit Malaysia melancarkan pameran jenamanya, sekali gus mengukuhkan komitmennya dalam menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula niaga dengan penyelesaian teknologi kewangan yang lancar untuk mempercepat penerimagunaan digital.
Alphaswift juga melancarkan produk stragetik manakala Atoz memperkenalkan kerjasama dalam mengintegrasikan teknologi dron dan platform digital untuk merevolusikan pertanian pintar -- membuktikan gabungan AI, automasi dan kelestarian.
Sempena ulang tahun ke-10 Sidec, SDEC 2025 terus menampilkan kepimpinan Malaysia dalam teknologi merangkumi AI, semikonduktor dan perdagangan digital.
Sidec memaklumkan Persidangan Inovasi AI 2025 bukan sahaja meraikan kerjasama strategik dan inovasi produk, malah juga mengukuhkan lagi aspirasi Malaysia untuk menerajui revolusi teknologi di Asia Tenggara -- AI, cip dan bakat bergabung untuk memacu pertumbuhan dekad akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial