GEORGE TOWN, 11 Okt (Bernama) -- Seorang jurujual sebuah syarikat swasta di Bukit Mertajam kerugian RM1.027 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan permainan dalam talian.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata lelaki berusia 34 tahun itu tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) hari ini, memaklumkan telah diperdaya sindiket terbabit melalui aplikasi Facebook.
“Pada awal September, mangsa yang melayari aplikasi Facebook telah melihat satu iklan pelaburan permainan dalam talian sandsm2s5.club dan diberikan pautan untuk menyertainya.
“Mangsa berminat untuk melabur selepas tertarik dengan jumlah keuntungan lumayan yang ditawarkan, iaitu sebanyak 50 peratus daripada wang dilaburkan dalam tempoh masa singkat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Azizee berkata pada 3 Sept mangsa melakukan transaksi ke satu akaun atas nama sebuah syarikat tempatan berjumlah RM300,000, dan mangsa kemudian melakukan tujuh lagi transaksi ke lima akaun atas nama syarikat berjumlah RM727,000, antara 10 Sept hingga 9 Okt lepas.
Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu apabila mendapati pautan berkenaan tidak dapat diakses dan nombor telefon yang digunakan untuk berhubung sebelum itu tidak lagi dapat dihubungi, kemudian bertindak membuat laporan polis.
Azizee berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial