AM

Belanjawan 2026: Peruntukan Khas UiTM Perluas Akses Pendidikan Pelajar Luar Bandar

12/10/2025 08:08 PM

SHAH ALAM, 12 Okt (Bernama) -- Peruntukan khas kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) diumum dalam Belanjawan 2026 mampu memberikan impak langsung terhadap usaha memperkasa ekosistem pendidikan bumiputera, antaranya memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada pelajar luar bandar. 

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata ia juga mampu mengukuhkan penyelidikan berimpak tinggi selain meningkatkan kesejahteraan mahasiswa menerusi pelbagai inisiatif bantuan dan kemudahan kampus. 

“UiTM menyambut baik pengumuman peruntukan keseluruhan RM18.60 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang antara lain memberi tumpuan kepada pengukuhan pendidikan bumiputera melalui peruntukan khas RM6 bilion kepada MARA, Yayasan Peneraju dan UiTM.

“Kami komited untuk memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dimanfaatkan secara optimum bagi memperkukuh infrastruktur, kebajikan pelajar serta keupayaan akademik dan penyelidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Shahrin berkata UiTM akan terus memainkan peranan strategik sebagai institusi peneraju pembangunan modal insan bumiputera yang berdaya saing dan berintegriti tinggi sejajar aspirasi Belanjawan MADANI membina masyarakat berilmu, sejahtera dan berdaya tahan.

Beliau turut meluahkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaannya terhadap peranan universiti itu memacu kecemerlangan pendidikan dalam kalangan bumiputera. 

“UiTM yakin peruntukan yang diterima akan memperkukuh keupayaan universiti dalam melaksanakan misi utamanya melahirkan graduan berilmu, beretika dan berdaya saing global… Sekali lagi, UiTM mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan sokongan padu kepada pendidikan tinggi bumiputera.

“UiTM berdiri teguh bersama kerajaan dalam menjayakan agenda pendidikan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Anwar mengumumkan KPT menerima peningkatan peruntukan sebanyak 2.76 peratus iaitu RM18.60 bilion berbanding tahun 2025 iaitu RM18.09 bilion.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan