AM

Kampung Chetti Di Melaka Terima Lebih RM100,000 Selesai Isu Banjir Kilat

12/10/2025 09:04 PM

MELAKA, 12 Okt (Bernama) -- Kampung Chetti di Jalan Gajah Berang di sini menerima peruntukan lebih RM100,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tujuan menaik taraf sistem perparitan serta beberapa kemudahan asas di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata projek tersebut dijangka dimulakan selepas sambutan Deepavali sebagai usaha menyelesaikan isu banjir kilat yang sering melanda penempatan masyarakat Chetti yang melibatkan lebih 30 rumah.

“Masalah banjir kilat di Kampung Chetti sudah berlarutan sekian lama akibat sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik. Dengan kelulusan peruntukan ini, kerja-kerja naik taraf dapat dilaksanakan segera,” katanya ketika ditemui media selepas program Deepavali Festive Charity: Together for a Better Tomorrow yang menghimpunkan lebih 200 penduduk komuniti Chetti di sini, hari ini.

Menurut beliau, peruntukan itu turut merangkumi kerja-kerja penurapan jalan utama di hadapan dewan komuniti bagi membolehkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan dijalankan dengan lebih selesa.

Sempena sambutan perayaan itu minggu depan, Khoo turut menyalurkan peruntukan RM10,000 kepada Kuil Sri Muthu Mariamman di bawah peruntukan Parlimen Kota Melaka.

Dalam pada itu, beliau menggesa Petronas Gas Berhad menjalankan pemeriksaan berkala ke atas paip saluran gas bawah tanah di Taman Merdeka, susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Selangor, pada April lepas.

“Taman Merdeka merupakan kawasan perumahan dan perindustrian utama di Kota Melaka. Saluran gas yang dipasang sejak kira-kira lapan tahun lalu perlu dipantau dengan rapi agar tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan