AM

Peluang Kedua Di Sebalik Jeriji: Inisiatif Pemulihan Di Penjara Malaysia

13/10/2025 02:03 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Di sebalik pintu besi dan pagar berduri, tersimpan ribuan kisah insan yang merindui sinar kedua. Dalam dunia yang kini penuh makna, prospek berkenaan sedang melalui perjalanan panjang untuk membina semula diri dan maruah keluarga. 

Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata perubahan istilah daripada "banduan" kepada "prospek" ialah anjakan besar dalam falsafah kepenjaraan negara, daripada sekadar menghukum kepada mendidik dan memulihkan.

“Kita mahu mereka dilihat bukan lagi sebagai pesalah, tetapi prospek, iaitu insan yang ada potensi untuk dibaiki dan disumbangkan semula kepada masyarakat,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Walaupun penjagaan lebih 90,000 banduan di 43 institusi penjara merupakan satu cabaran besar, pelbagai program tetap dijalankan untuk memastikan setiap prospek bukan sahaja menghabiskan hukuman, malah turut memperoleh ilmu dan nilai bagi memulakan kehidupan baharu selepas dibebaskan.

Abdul Aziz berkata setiap pagi, prospek akan mengikuti jadual harian yang teratur di bawah Program Pembangunan Insan (HDP) berasaskan tiga teras utama, iaitu kesihatan dan rawatan, pemulihan dan pendidikan serta latihan vokasional untuk kebolehpasaran industri.

Beliau berkata program itu juga merangkumi empat fasa bermula daripada orientasi disiplin diri, pengukuhan sahsiah, latihan kemahiran, dan fasa integrasi semula ke dalam masyarakat melalui program parol, pembebasan bersyarat serta inisiatif bekerja di luar penjara.

“Evolusi Jabatan Penjara bukan lagi tentang tempat seseorang dihukum, tetapi tempat seseorang dipulihkan,” katanya.

Menjelas lanjut, Abdul Aziz berkata pihaknya turut melaksankan Akaun Amanah Pemulihan dan Kebajikan Penghuni Penjara yang melatih serta memberikan pendedahan kepada prospek mengenai aktiviti ekonomi produktif dalam enam sektor utama, iaitu daripada bidang makanan, perkhidmatan, pembuatan, dan fabrik, sehinggalah pertanian serta penternakan.

“Pendapatan daripada hasil kerja mereka digunakan semula untuk tujuan latihan, kebajikan dan pembangunan kendiri. Sebahagian daripadanya turut disimpan sebagai bekalan selepas pembebasan," katanya.

Bagi Abdul Aziz, kemahiran dan kerohanian ialah dua sayap yang membawa prospek ke arah perubahan bermakna dan hal ini diterapkan melalui 34 pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Pusat Vokasional Industri di seluruh negara yang menawarkan latihan pelbagai bidang, lengkap dengan pensijilan seperti Sijil Kemahiran Malaysia dan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan.

Beliau berkata sejak 2012 hingga 2024, terdapat lebih 19,000 prospek telah menerima pensijilan TVET, manakala bagi 2025 sahaja, sebanyak 1,421 prospek mengikuti latihan kemahiran dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Ramai yang masuk tanpa sebarang kemahiran, tetapi keluar dengan sijil dan keyakinan diri. Dengan kemahiran, mereka boleh bekerja, boleh hidup. Ekonomi yang stabil ini kunci untuk elak mereka kembali ke kancah jenayah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata program tahfiz penjara juga terus berkembang dengan kerjasama majlis agama negeri dan kini terdapat 14 sekolah tahfiz di institusi penjara, dengan hampir 300 prospek mengikuti pengajian menghafaz al-Quran.

“Program tahfiz memberikan ketenangan jiwa, TVET memberikan kekuatan hidup. Apabila kedua-duanya bergabung, fizikal, mental dan kerohanian, lahirlah insan baharu yang lebih kukuh jati dirinya,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, perubahan landskap pemulihan turut disokong Program Peluang Kedua Anda (PEKA) bernilai RM7.38 juta yang dilancarkan pada 2024 hasil kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan dengan menawarkan latihan TVET kepada ratusan prospek dalam bidang seperti elektrik, kimpalan, pemanduan forklift dan pengurusan sisa pepejal.

“Bagi 2025, kerajaan meluluskan lagi RM7 juta untuk memperluas latihan kepada 1,000 prospek di lapan pusat vokasional di seluruh negara, melalui program ini, prospek yang berjaya menamatkan latihan berpeluang diserap ke dalam industri, termasuk syarikat besar seperti MRCB,” katanya.

Satu kejayaan paling membanggakan daripada pendekatan baharu itu ialah kadar pengulangan jenayah sangat rendah yang menurut Abdul Aziz, peserta program TVET dan pemulihan komuniti mencatat kadar kurang 0.3 peratus, jauh di bawah piawaian antarabangsa sebanyak 20 peratus.

“Sebaliknya, bagi prospek yang tidak menyertai latihan kemahiran, kadar pengulangan boleh mencecah hingga 12 peratus dalam tempoh tiga tahun selepas dibebaskan. Apabila seseorang ada kerja, kemahiran dan keyakinan, dia ada arah. Itulah ubat sebenar kepada jenayah berulang,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, cabaran sebenar berlaku selepas pemulihan apabila prospek kembali kepada masyarakat dan stigma serta pandangan negatif komuniti terhadap bekas banduan hanya boleh dihapuskan melalui kejayaan demi kejayaan mereka.

Antara langkah yang diambil bagi mengatasi isu berkenaan ialah menerusi pelaksanaan program Pemulihan Dalam Komuniti dan kerjasama industri melalui inisiatif Corporate Smart Internship (CSI) untuk membuka peluang pekerjaan kepada prospek selepas pembebasan dengan syarikat yang mengambil mereka bekerja mendapat insentif pengecualian cukai hingga RM4,000 seorang.

Selama lebih tiga dekad berkhidmat, Abdul Aziz sentiasa memandang setiap prospek bukan sekadar penghuni penjara, tetapi juga sebagai insan yang berpotensi untuk bangkit semula, dan baginya pemulihan bukanlah hanya untuk bekas banduan kembali kepada masyarakat, tetapi juga untuk orang ramai belajar menerima mereka.

"Prospek yang mampu membaca semula al-Quran, menyarung pakaian kerja atau bangun awal untuk ke bengkel pertanian semuanya tanda kehidupan yang kembali tumbuh selepas kegelapan. Tugas kita di luar ialah memberikan ruang untuk mereka terus hidup dengan bermaruah,” katanya, meninggalkan kesan mendalam tentang makna sebenar pemulihan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan