KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Pelaburan dalam ketahanan dan kesiapsiagaan lebih memberi pulangan jangka panjang berbanding tindakan reaktif selepas berlakunya sesuatu bencana, kata Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-Pengurusan Risiko Bencana (APPGM-DRM) Zahir Hassan.
Menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas, beliau berkata pihaknya menghargai usaha kerajaan dalam menyediakan peruntukan itu dengan mengambil kira perkara sedemikian termasuk RM2.2 bilion bagi 55 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).
“Langkah ini menunjukkan pendekatan proaktif untuk melindungi nyawa, mata pencarian dan kestabilan ekonomi jangka panjang,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026, turut mengumumkan peruntukan RM460 juta untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara dan RM210 juta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membangunkan Sistem Amaran Awal.
Zahir, yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, berkata APPGM-DRM bersama dengan Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana memberi komitmen untuk terus memainkan peranan sebagai jambatan antara pembuat dasar, institusi pendidikan dan masyarakat dalam memperkukuh agenda daya tahan negara.
“Sempena Hari Antarabangsa Pengurangan Risiko Bencana, kami sekali lagi menyeru semua pihak untuk membiayai daya tahan, bukan bencana - memastikan setiap pelaburan hari ini memperkukuh keselamatan, kelestarian dan kemakmuran negara,” katanya.
Beliau juga berkata dengan kos bencana global dianggarkan hampir USD2.3 trilion, Hari Antarabangsa Pengurangan Risiko Bencana yang disambut setiap 13 Okt mengingatkan bahawa setiap ringgit yang dilaburkan dalam pengurangan risiko dapat mengelakkan kerugian jauh lebih besar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial