EKONOMI

SJPP Buka Potensi Pembiayaan PKS Hampir RM100 Bilion Melalui Jaminan Risiko

13/10/2025 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) membuka potensi akses pembiayaan hampir RM100 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menjamin sehingga 80 peratus daripada risiko yang tidak sanggup ditanggung oleh bank.

SJPP dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) berfungsi mengurus dan mentadbir pelbagai skim jaminan kerajaan untuk merapatkan jurang pembiayaan yang dihadapi oleh PKS, khususnya mereka yang tidak mempunyai cagaran mencukupi atau rekod prestasi yang kukuh bagi memperoleh pinjaman bank.

“SJPP tidak memberi pinjaman daripada dana secara langsung. Sebaliknya, ia memberikan keyakinan kepada bank untuk berkata ‘ya’ dengan menjamin sebahagian daripada risiko itu, sekali gus memberikan jaminan tambahan bagi membolehkan pembiayaan diluluskan.

“Pendekatan mudah ini telah mempermudah pembiayaan bernilai berbilion ringgit sejak 2009, memberi manfaat kepada lebih 100,000 PKS; memacu pertumbuhan perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong usaha Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” kata SJPP dalam kenyataannya hari ini.

Pada Februari tahun ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan kerajaan memperuntukkan jaminan berjumlah RM20 bilion melalui SJPP bagi pembiayaan PKS. Pembiayaan ini memberi tumpuan terutamanya kepada sektor seperti halal, teknologi tinggi, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta pelancongan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM5 bilion diperuntukkan khusus untuk perniagaan Bumiputera bagi memastikan peluang pertumbuhan yang lebih adil dan saksama.

Model itu mencerminkan amalan global di negara seperti Jerman, Korea Selatan dan Jepun, di mana jaminan yang disokong oleh kerajaan memainkan peranan penting dalam menyokong pembiayaan PKS dan pertumbuhan perniagaan.

Beroperasi di bawah pengawasan Kementerian Kewangan dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia, SJPP berkata pihaknya terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem PKS negara, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa seperti tarif Amerika Syarikat terhadap import Malaysia baru-baru ini, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pelarasan tarif elektrik dan rasionalisasi subsidi bahan api.

“Dengan jaminan daripada SJPP, PKS di Malaysia terus berkembang maju, membuktikan bahawa di sebalik setiap perniagaan yang berjaya, terdapat sokongan kerajaan melalui pelbagai skim jaminan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan