KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengiktirafan berterusan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global diyakini dan membolehkan pelabur mendapatkan kestabilan, kejelasan serta peluang, turut menjadi paparan nilai asas etika negara dalam sektor berkenaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara pencapaian Malaysia adalah menjadi perintis pasaran sukuk global, peneraju dalam sukuk hijau dan berkaitan mampan, membangunkan kapasiti kukuh dalam sektor takaful selain menerimaguna teknologi kewangan (fintech) dan platform digital bagi zakat dan wakaf yang menghubungkan tradisi dengan teknologi moden.
“Dunia mencari sistem kewangan yang bukan setakat mampu memberi keuntungan, tetapi juga bermatlamat. Kita harus bekerjasama untuk memperkasa kalangan komuniti dengan memastikan penyelesaian kewangan ini dapat membantu meningkatkan (kehidupan) kalangan yang memerlukan.
“Kita juga perlu melonjakkan lagi perniagaan beretika dan bertanggungjawab menerusi kerjasama rentas sempadan, inovasi dan kemakmuran bersama,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025 di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Anwar berkata pimpinan Malaysia dalam kewangan Islam juga menyerlah sehingga ke pentas global menerusi usaha negara menerbitkan sukuk pelaburan mampan dan bertanggunjawab bernilai lebih RM20 bilion.
“Adalah jelas di mata dunia bahawa sektor kewangan Islam kita bukan setakat berkembang pesat, tetapi turut menerajui dalam menggerakkan modal bagi impak hijau, sosial dan beretika,” kata beliau.
Pada masa sama, Anwar menegaskan bahawa dunia sedang memasuki era yang menyaksikan modal akan terus dinilai bukan hanya dari segi potensi pulangan yang dapat dijana, tetapi juga manfaatnya kepada kehidupan serta legasinya.
“Kita telah membuktikan bahawa kewangan Islam dapat menerajui anjakan -- ketidaksamarataan yang ketara, ketidakadilan serta toleransi terhadap semua keburukan yang menjejaskan masyarakat kita,” katanya.
Perdana Menteri juga menekankan peranan prinsip Maqasid Syariah dalam kewangan Islam yang bermula dengan isu tadbir urus yang mantap.
“Anda semua perlu sentiasa mengingatkan pemimpin, profesional, ahli akademik dan penjawat awam agar bekerjasama bagi memastikan matlamat sebenar Maqasid dapat dicapai.
“Walaupun dalam aspek memperkenalkan instrumen kewangan, isu daya saing dan keuntungan secara keseluruhannya tidak boleh mengetepikan nilai-nilai keadilan dan tadbir urus yang baik,” kata Anwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial