KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan sebanyak 7.9 peratus kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk memperkukuh perpaduan sosial di negara ini, menurut Architects of Diversity (AOD).
“AOD mengalu-alukan belanjawan kerajaan dan tumpuan berterusan terhadap program serta aktiviti yang memperkukuh perpaduan sosial.
"Kami melihat satu peningkatan peruntukan yang positif kepada KPN iaitu sebanyak 7.9 peratus bagi 2026 berbanding peruntukan yang diberikan pada 2025,” menurut AOD dalam kenyataan hari ini.
AOD turut menyambut baik pelaksanaan geran padanan sebanyak RM5 juta dan mekanisme pengecualian cukai bagi menggalakkan sumbangan kewangan daripada sektor swasta dan korporat kepada Muzium Negara.
Menurut AOD, hal itu merupakan langkah penting bagi institusi perpaduan sosial untuk membina perkongsian yang lebih erat dengan badan filantropi.
AOD turut mencadangkan agar mekanisme berkenaan diperluas kepada inisiatif perpaduan sosial lain termasuk program dan penyelidikan yang dijalankan oleh agensi kerajaan serta pertubuhan bukan keuntungan.
Selain itu, AOD turut memuji peningkatan peruntukan kepada Rukun Tetangga daripada RM20 juta pada 2025 kepada RM55 juta bagi tahun depan.
“Sebagai organisasi yang dikendalikan oleh komuniti, kami percaya bahawa peningkatan pelaburan ini mencerminkan komitmen baharu kerajaan untuk memperkasa komuniti tempatan sebagai barisan hadapan dalam mencegah perpecahan sosial.
“Struktur berasaskan kejiranan ini amat penting dalam memupuk kepercayaan, kerjasama dan persefahaman antara rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas mengumumkan peruntukan RM55 juta bagi memperkasakan peranan Rukun Tetangga MADANI sebagai jambatan yang menggerakkan aktiviti kekeluargaan dalam kejiranan berbilang bangsa.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan dana awal sebanyak RM5 juta melalui geran padanan bagi menggalakkan penyertaan sektor korporat, dermawan dan pakar warisan dalam usaha meremajakan Muzium Negara sebagai institusi penting yang memelihara sejarah dan identiti kebangsaan.
Menterinya Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pula berkata peruntukan kepada KPN meningkat sebanyak 7.99 peratus iaitu RM767,993,300 berbanding RM711,346,800 pada 2025 merangkumi RM650,476,100 untuk Perbelanjaan Mengurus (OE) dan RM117,517,200 bagi Perbelanjaan Pembangunan (DE).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial