KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa negara anggota ASEAN akan memutuskan pendirian blok itu berhubung rancangan Myanmar untuk mengadakan pilihan raya serta jemputannya kepada negara anggota bagi menghantar pemerhati pilihan raya.
Beliau menegaskan bahawa perkara itu tidak akan diputuskan oleh satu-satu negara.
“Kita tidak akan memutuskan secara sendirian, ini adalah ASEAN.
“Perkara ini kita akan bawa ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dahulu untuk kita putuskan,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin ketika menjawab soalan sama ada Malaysia akan menghantar delegasi pemerhati di pilihan raya itu kelak.
Pada 9 Okt, Mohamad menegaskan bahawa Myanmar perlu melaksanakan pilihan raya akan datang secara bebas, adil, telus dan berwibawa dengan penyertaan semua parti politik dan pihak berkepentingan di seluruh negara.
Beliau menyampaikan pendirian itu dalam pertemuan beliau dengan Pengerusi Suruhanjaya Keamanan dan Keselamatan Negara (SSPC) merangkap Pemangku Presiden Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, Perdana Menteri merangkap Menteri Perancangan Nasional U Nyo Saw, serta Menteri Luar U Than Swe semasa lawatan kerjanya ke Nay Pyi Taw.
Myanmar berdepan krisis politik dan kemanusiaan yang berpanjangan sejak tentera menggulingkan kerajaan sah yang dipilih secara demokratik, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), pada 1 Feb, 2021.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial