IPOH, 14 Okt (Bernama) -- Petani dan penternak yang mengalami kerosakan tanaman atau ternakan akibat Monsun Timur Laut (MTL) diminta melaporkan kepada jabatan serta agensi berkaitan bagi membolehkan bantuan disalurkan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Tabung Bencana Pertanian (TBP).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Zolkafly Harun berkata langkah itu penting kerana laporan rasmi dari lapangan menjadi asas pengesahan bagi mengaktifkan penyaluran bantuan kedua-dua skim berkenaan.
“Beberapa daerah berisiko tinggi terjejas akibat Monsun Timur Laut ialah Perak Tengah, Hilir Perak, Manjung dan Kuala Kangsar kerana sering mencatatkan kejadian banjir dan kerosakan tanaman pada musim tengkujuh.
“Oleh itu, kita (kerajaan negeri) minta mana-mana petani dan penternak pantau keadaan tempat masing-masing. Kalau boleh, segera buat laporan sekiranya berlaku kerosakan supaya bantuan daripada TBTP atau TBP dapat disalurkan secepat mungkin melalui jabatan atau agensi berkaitan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Hari Anugerah Pengembangan Jabatan Pertanian Negeri Perak 2025 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Pertanian Perak Norsiyenti Othman.
Malaysia dijangka menghadapi Monsun Timur Laut bermula 5 Nov hingga penghujung Mac 2026 selain turut dipengaruhi fenomena La Nina lemah.
Sementara itu, Zolkafly berkata menerusi TBTP yang diselaraskan oleh Jabatan Pertanian negeri untuk pesawah, kadar bantuan disalurkan mengikut tempoh tanaman terjejas akibat MTL.
“Jika usia padi yang ditanam melebihi 71 hari, maka petani terlibat layak menerima pampasan RM1,800 per hektar, manakala jika di bawah 71 hari (usia), pampasan sebanyak RM876 per hektar akan disalurkan,” katanya.
Beliau berkata bagi TBP, ia merangkumi bantuan untuk tanaman selain padi dan akan disalurkan melalui jabatan atau agensi penyelaras mengikut jenis tanaman serta kelompok petani yang terjejas.
“Bantuan dibawah TBP ini bergantung kepada agensi-agensi yang berkaitan. Ia akan dinilai berdasarkan tahap kerosakan (kawasan) di kawasan tanaman atau penternakan para petani atau penternak yang terjejas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial