AM

P.Pinang Sasar RM250,000 Hasil Jualan Usahawan Bumiputera Di MIHF'25

14/10/2025 09:01 PM

BUTTERWORTH, 14 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang menyasarkan jualan keseluruhan berjumlah RM250,000 menerusi penyertaan 18 usahawan bumiputera negeri itu di Festival Halal Antarabangsa Melaka 2025 (MIHF’25) yang bermula 16 Okt ini. 

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata ia merupakan penyertaan pertama di festival berkenaan yang berlangsung hingga 19 Okt dengan tujuh daripadanya merupakan usahawan asnaf di bawah Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP).

“Kesemua peserta merupakan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang memiliki pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP).

“Produk yang dibawa meliputi makanan, rempah-ratus, produk kesihatan dan terapi, justeru kita yakin dengan kualiti dan jaminan halal yang dimiliki, mereka mampu mencapai sasaran jualan RM250,000,” katanya kepada pemberita selepas acara pelepasan delegasi usahawan bumiputera Pulau Pinang ke MIHF di Seberang Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata penyertaan dalam festival yang turut disertai pelbagai negara termasuk rantau ASEAN itu dilihat berupaya menjadi platform terbaik untuk usahawan Pulau Pinang mempromosi produk mereka sekali gus membuka peluang menembusi pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat negeri berkata terdapat 1,700 usahawan di negeri ini termasuk bukan bumiputera memiliki pensijilan halal setakat ini, menjadikan ketiga tertinggi selepas Selangor dan Johor.

“Setakat September lepas, kita menerima lebih 800 permohonan baharu bagi sijil halal dengan penyertaan bumiputera meningkat hampir 30 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai usahawan akan memohon pensijilan halal bagi memperkukuh daya saing mereka di pasaran antarabangsa.

MIHF’25 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, merupakan program tahunan yang mengetengahkan usahawan memiliki pensijilan halal dan tahun ini dijangka menghimpunkan 450 pempamer serta menarik kehadiran lebih 500,000 pengunjung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan