GEORGE TOWN, 14 Okt (Bernama) -- Guardian Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai peruncit kesihatan dan kecantikan nombor satu di Malaysia menerusi pembukaan stor utama pertamanya di Queensbay Mall, di sini.
Menurut kenyataan Guardian, stor baharu berkenaan direka khusus bagi memenuhi keperluan pelanggan masa kini dan menjadi antara stor utama di utara Semenanjung dan dijangka menerima ribuan pelanggan tempatan serta pelancong setiap bulan.
“Berkeluasan 2,186 kaki persegi dan terletak di pusat beli-belah terbesar di Pulau Pinang, Guardian Malaysia menampilkan transformasi baharu dalam pengalaman membeli-belah menerusi rekaan dalaman moden, susun atur yang lebih kemas serta pelbagai jenama dan trend terkini dalam dunia kecantikan dan kesihatan.
“Lebih 1,400 produk baharu dan popular turut diperkenalkan buat kali pertama di stor utama ini, dengan kira-kira separuh daripadanya hanya boleh didapati secara eksklusif di Guardian,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pengarah Urusan Guardian Malaysia Priscilla Wu berkata pembukaan stor utama itu mencerminkan komitmen syarikat dalam meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan dengan menyediakan lebih banyak maklumat serta pilihan produk.
“Stor baharu di Queensbay Mall ini akan membawa pengalaman membeli-belah pelanggan ke tahap yang lebih tinggi dengan pilihan lebih luas dan pengumpulan maklumat yang lebih menyeluruh sebelum pembelian.
“Kami membantu pelanggan membuat keputusan berdasarkan panduan pakar, akses kepada pelbagai jenama dan penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan mereka,” katanya.
Antara tarikan utama di Guardian Queensbay Mall ialah Pemeriksaan Kesihatan Kulit Berasaskan AI yang diperkenalkan buat kali pertama oleh Guardian, dengan analisis dijalankan oleh ahli farmasi Guardian yang juga pakar derma bertauliah.
Teknologi berkenaan membolehkan pelanggan mengenal pasti keperluan kulit dengan lebih tepat melalui 12 parameter utama termasuk kedutan, lingkaran gelap, cela, liang pori dan jerawat yang semuanya dapat dianalisis dalam tempoh hanya tiga minit.
Menurut Guardian, sebagai destinasi utama dan dipercayai dalam penjagaan kulit, stor baharu itu turut tampil dengan pilihan jenama dan produk yang amat luas termasuk jenama trending #IYKYK serta kategori penjagaan kulit derma.
“Menariknya, Guardian turut memperkenalkan Zon Lelaki, iaitu ruang khas yang direka untuk mendidik pelanggan mengenai rutin penjagaan diri dan kesihatan.
“Di sini, pelanggan boleh mendapatkan panduan tentang produk bercukur, penjagaan kulit, dandanan rambut, deodoran serta produk penjagaan kesihatan yang sesuai,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, bahagian guardian’s picks pula secara berkala menampilkan rangkaian produk yang dikurasi khas dalam kategori kesihatan, penjagaan diri dan kulit sekali gus mengukuhkan Guardian sebagai peneraju kesihatan.
Reka bentuk stor berkenaan turut direka bagi memudahkan pengalaman membeli-belah, dengan sudut khas seperti Zon Mini & Travel untuk memenuhi keperluan pelancong dan pengembara tegar, serta bahagian penjagaan mulut yang lengkap dengan pelbagai produk kebersihan oral terkini.
Sempena pelancaran rasmi cawangan utama pada 8 Okt lepas, Guardian turut menawarkan pelbagai promosi istimewa kepada pelanggan antaranya termasuk promosi RM5 untuk 30 barangan terpilih, terbuka kepada semua pelanggan di Guardian Queensbay Mall pada hari pembukaan.
Pelbagai acara jenama menarik menanti para pelanggan sepanjang bulan ini termasuk demonstrasi solekan dan pensampelan percuma dengan aktiviti jenama Hanasui akan berlangsung pada 11 dan 12 Okt manakala acara Timephoria pula pada 17 hingga 31 Okt ini.
Turut dianjurkan pemeriksaan kesihatan kulit percuma untuk semua pelanggan dan istimewa untuk ahli MYguardian Rewards yang menyertai aktiviti berkenaan akan menerima sampel kit derma secara percuma berserta kupon RM20.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial