KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkasakan usahawan mikro dalam kalangan asnaf dan B40 di seluruh negara dengan menyalurkan dana kepada Sadaqa House Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) yang diiktiraf sebagai pemacu kewangan sosial di peringkat global.
TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan sejak 2000, agensi itu telah menyumbang RM10.3 juta termasuk RM3.8 juta pada tahun ini, yang berjaya membantu seramai 1,000 usahawan mikro daripada golongan itu meningkatkan keupayaan perniagaan dan taraf hidup mereka.
“Dana sebelum ini telah menyokong pelaksanaan Program Pembangunan Keusahawanan iTEKAD (iTEKAD) yang memberikan kesan berganda dalam menyokong kelangsungan usahawan mikro apabila ia mencatat pencapaian pembiayaan sehingga lebih RM12 juta disebabkan oleh kesan putaran (revolving effect).
“Selain itu, dana sumbangan ini juga dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk termasuk pembiayaan mikro tanpa keuntungan berkonsepkan qardhul hasan, geran perniagaan untuk usahawan mikro asnaf, pembiayaan kos latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan serta kajian bagi meningkatkan keberkesanan program iTEKAD,” menurut kenyataan itu.
Menurut TH, kejayaan program itu juga terbukti apabila lebih 35 peratus peserta iTEKAD BangKIT, melibatkan 341 usahawan mikro, berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah mereka dalam tempoh setahun selepas menyertai program ini sejak 2020
Dalam kenyataan yang sama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata usaha itu selari dengan aspirasi TH sebagai institusi Islam yang bukan sahaja mengurus tabungan dan ibadat haji, tetapi turut memperkukuh kedudukan kewangan umat Islam menerusi pelaburan dan agihan zakat.
“TH yakin bahawa pembangunan ummah perlu dilihat secara holistik, bukan hanya dalam aspek ibadat, tetapi juga pemerkasaan kewangan umat Islam. Sumbangan ini adalah pelaburan sosial jangka panjang demi kesejahteraan masyarakat dan keberkatan bersama,” katanya.
Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan Bank Islam Mohd Nazri Chik berkata sebagai pemegang saham terbesar, sokongan TH menjadi penggerak penting dalam memperkukuh usaha Bank Islam memastikan Sadaqa House terus memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Komitmen TH membolehkan kami memartabatkan kewangan sosial Islam seperti sedekah dan zakat sebagai penyelesaian kewangan inklusif yang mampan,” katanya.
Sementara itu, seorang daripada penerima manfaat program tersebut Norzie Nani Md Bahari, telah menggunakan dana iTEKAD untuk membeli motosikal penghantaran, pencetak, mesin pengisar dan bahan mentah bagi merancakkan lagi perniagaan jualan jeruk buah buatan sendiri.
Keupayaan pemilik Issnanie Pink Enterprise itu menyesuaikan diri dengan mengguna platform penghantaran makanan untuk menjual produknya ketika pandemik COVID-19 berjaya melonjakkan jualan kepada RM1,100 sehari berbanding RM350 sebelum ini.
Malah perniagaannya kini berkembang dengan memiliki dua pekerja tetap, kedai sendiri di Kajang selain beliau turut menyumbang kembali kepada Sadaqa House dan bercadang untuk membayar zakat perniagaan tahun hadapan.
Turut mendapat manfaat ialah Mah Ali, sorang ibu kepada tiga anak dan pejuang kanser payudara yang berjaya memperluas perniagaan jahitannya selepas menyertai iTEKAD BangKIT.
Mah melabur membeli mesin sulaman yang membolehkan beliau menerima banyak tempahan termasuk daripada pasukan beruniform.
Beliau kini memiliki pusat jahitan sehenti selain turut membimbing empat usahawan baharu dalam komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial