AM

Kempen Internet Selamat Terus Diperluas Ke Sekolah Di Sipitang

15/10/2025 11:10 AM

SIPITANG, 15 Okt (Bernama) -- Kempen Internet Selamat anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus diperluas di daerah Sipitang bagi memperkukuh kesedaran keselamatan dalam talian dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini menghadiri program itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sindumin di sini yang disertai 90 murid daripada pelajar tahun empat hingga enam.

Menurut kenyataan MCMC hari ini, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan sehingga kini telah diadakan di 22 daripada 29 sekolah di daerah itu.

“Baki pelaksanaan di tujuh sekolah di daerah Sipitang akan dilaksanakan dalam masa terdekat untuk memastikan kempen ini menjangkau semua sekolah di daerah berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Usaha berterusan itu mencerminkan komitmen MCMC dalam memperkukuh literasi digital dan membentuk budaya penggunaan Internet yang selamat serta bertanggungjawab dalam kalangan pelajar.

Sejak dilancarkan pada Januari 2025, kempen berkenaan telah menjangkau 4,734 institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi, termasuk 52 institusi pengajian tinggi awam, kolej serta institut pendidikan guru. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 434 institusi pendidikan di seluruh Sabah telah menerima manfaat program berkenaan.

Menurut MCMC, pihaknya menjalin kerjasama strategik merentas kementerian, agensi kerajaan dan industri bagi memperluas capaian serta meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan 1,298 sekolah di Sabah.

“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman dalam kalangan pelajar, malah turut menggalakkan sokongan padu daripada pihak sekolah dan komuniti dalam merealisasikan aspirasi Internet Kita, Internet Selamat,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, dan Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan