PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Sebanyak 61 projek sekolah di seluruh negara dijangka siap dan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) tahun depan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata kebanyakan projek berkenaan melibatkan pembinaan kompleks baharu dan blok tambahan bagi mengatasi isu kepadatan pelajar.
“Tahun depan, kita ada 61 projek yang sedang dilaksanakan akan diserahkan kepada KPM. Projek ini pelbagai, termasuk sekolah baharu dalam bentuk kompleks serta blok tambahan,” katanya selepas merasmikan penyerahan pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15, di sini hari ini.
Nanta berkata daripada keseluruhan 1,251 projek sekolah yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan nilai keseluruhan RM32.63 bilion, sebanyak 309 projek telah siap manakala 454 lagi sedang dalam pembinaan.
“Sebanyak 321 projek masih di peringkat perancangan, 79 dalam proses perolehan, 82 di peringkat reka bentuk dan enam projek dalam proses tender semula,” katanya.
Mengulas mengenai projek Kompleks Sekolah Presint 15, Nanta berkata ia dibina dengan kos RM117 juta dan disiapkan 45 hari lebih awal daripada tarikh dijadualkan, hasil penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS).
“Polisi kerajaan menetapkan projek kerajaan perlu mematuhi 70 peratus penggunaan IBS. Bagi projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya, kita pastikan kadar itu dipatuhi, kecuali bagi projek di kawasan yang terlalu terpencil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata Kompleks Sekolah Putrajaya Presint 15 dilengkapi 36 bilik darjah sekolah rendah, 42 bilik darjah sekolah menengah serta kemudahan prasekolah.
“Pejabat Pendidikan Daerah Putrajaya akan menggerakkan guru bagi menyambut kehadiran kumpulan pertama pelajar pada Januari tahun depan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial