AM

Rakyat Malaysia Guna Lesen Singapura Boleh Mohon BUDI95 Mulai Esok - Loke

15/10/2025 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan akan membuka laman sesawang khas mulai esok bagi memudahkan rakyat Malaysia yang menggunakan Lesen Memandu Singapura (LMS) memohon BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia bagi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi terpaksa menggunakan lesen memandu republik itu untuk tujuan pekerjaan khususnya dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas, pemandu perkhidmatan sokongan dan pekerja operasi.

“MOT prihatin terhadap maklum balas daripada warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura berkenaan pelaksanaan BUDI95 khususnya mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas dan pekerja operasi,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata laman sesawang berkenaan boleh diakses di www.BUDI95lesenSG.jpj.gov.my manakala status kelayakan boleh disemak selepas 14 hari melalui portal rasmi www.budi95.gov.my.

Loke berkata semua permohonan akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk penelitian dan pertimbangan kelayakan berdasarkan syarat iaitu pemohon merupakan warganegara Malaysia, memiliki LMS yang masih sah dan mempunyai status permit pekerjaan di Singapura.

Beliau juga berkata subsidi BUDI95 kekal hanya untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia manakala rakyat Malaysia yang tidak lagi bekerja di republik itu boleh memohon semula Lesen Memandu Malaysia setelah membatalkan lesen Singapura mereka mengikut prosedur sedia ada.

“Jabatan ini berharap langkah ini dapat membantu memudahkan urusan warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura agar turut mendapat pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan program subsidi bahan api negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan