AM

Angkasa Sedia Bantu Pesara Tentera Tubuh Koperasi, Jana Pendapatan

15/10/2025 10:26 PM

MELAKA, 15 Okt (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) sedia membantu pesara kerajaan khususnya tentera untuk menubuhkan koperasi sebagai platform mewujudkan kegiatan ekonomi untuk menjana pendapatan.

Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata bantuan itu meliputi pelbagai aspek seperti nasihat termasuk berkaitan kewangan, latihan, pendidikan serta peluang pasaran melalui rangkaian tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata antara bidang dilihat berpotensi kepada bekas tentera ialah perniagaan melibatkan perkhidmatan atau fasiliti ketenteraan yang masih belum dipelopori golongan itu buat masa ini.

“Pesara tentera banyak mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan dan mereka berpotensi menjadi pembekal aset atau perkhidmatan berkaitan seperti penyelenggaraan. 

“Menerusi produk atau perkhidmatan ini, mereka boleh bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan sekali gus memberi manfaat kepada ahli koperasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Fattah berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sumbangan Barang Keperluan Harian Menerusi Projek Barang Asas (BA100) kepada 54 Ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Tangga Batu sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Coop Care Angkasa.

Beliau berkata menerusi penubuhan koperasi, pesara tentera boleh terus menjana pendapatan kerana bukan semua golongan itu menerima pencen yang besar untuk meneruskan kelangsungan hidup, selain faktor kesihatan antara punca mereka tidak boleh bekerja.

“Selain bidang ketenteraan, pesara juga boleh menubuhkan koperasi dalam pelbagai sektor seperti peruncitan, pertanian moden, kontraktor kecil, perkhidmatan logistik, pengeluaran makanan, pembangunan komuniti, pelancongan desa dan usahawan sosial,” katanya.

Abdul Fattah berkata berdasarkan Laporan Perangkaan Koperasi Malaysia tahun lepas oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, pendaftaran melibatkan pesara ialah 173 buah koperasi dengan jumlah keanggotaan 19,065 orang.

Beliau berkata syer atau yuran yang direkodkan koperasi terlibat sebanyak RM11.2 juta manakala nilai aset (RM60.84 juta) dan perolehan (RM12.99 juta).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan