AM

AFA PRIME Tingkat Pengurusan Trafik, Keselamatan Sempena Deepavali

15/10/2025 08:15 PM

TEMERLOH, 15 Okt (Bernama) -- AFA PRIME Berhad akan mempertingkatkan langkah pengurusan trafik dan keselamatan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sempena cuti Deepavali tahun ini.

AFA PRIME dalam kenyataan hari ini memaklumkan sempena Pesta Cahaya pada 20 Okt ini, aliran trafik menuju Pahang dan Pantai Timur dijangka memuncak antara 17 hingga 19 Okt, manakala aliran balik ke arah barat menuju Kuala Lumpur dijangka memuncak antara 20 hingga 22 Okt.

“Dalam tempoh ini, trafik harian di KLK dijangka meningkat sebanyak 59 peratus daripada purata 110,000 kepada 175,000 kenderaan. Trafik di LPT1 pula dijangka meningkat 67 peratus daripada 41,000 kepada 68,300 kenderaan sehari,” menurut kenyataan itu.

AFA PRIME turut memaklumkan unit Rondaan Polis Lebuhraya akan ditempatkan di stesen Gombak, Temerloh dan Kuantan bagi memastikan kelancaran trafik, manakala pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersiap sedia di beberapa jambatan timbang di Gombak, Karak, Temerloh, Maran dan Kuantan.

“Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah untuk memberikan bantuan di lapangan selama 24 jam sepanjang tempoh kecemasan,” menurut kenyataan itu.

Pengurus Besar dan Ketua AFA PRIME Ibrahim Tambi Cik Mohamad dalam kenyataan sama menyeru semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah dan merancang perjalanan lebih awal.

“Ketika lebih ramai rakyat Malaysia melakukan perjalanan untuk meraikan sambutan ini, pasukan kami akan bersiap siaga sepenuhnya bagi memastikan setiap perjalanan selamat, lancar dan terurus dengan baik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan