KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Suasana sambutan Deepavali dirasai lebih awal apabila Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan hari ini meraikan hampir 100 pengamal media dalam satu majlis ramah mesra.
Majlis jamuan sempena Pesta Cahaya yang akan disambut Isnin ini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin selain wakil daripada media arus perdana, portal berita serta media sosial.
Ramanan berkata penganjuran majlis itu adalah sebagai tanda penghargaan beliau kepada warga media, khususnya media bahasa Tamil yang sentiasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan dasar kerajaan dan inisiatif kementeriannya kepada masyarakat.
“Saya rasa sangat bertuah pada Deepavali kali ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kelulusan bagi beberapa inisiatif untuk komuniti India, semalam.
“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datin Paduka Nur-ul Afida dan Bernama yang banyak membantu mengetengahkan berita berkaitan masyarakat India, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Bank Rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Majlis yang berlangsung dalam suasana ceria itu diserikan dengan juadah tradisional Deepavali.
Terdahulu pada sidang media berlainan, Ramanan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Inisiatif Masyarakat India mengumumkan beberapa inisiatif baharu bernilai RM42.25 juta untuk masyarakat India, termasuk program tuisyen percuma ‘Kalvi MADANI’, pemberian komputer riba menerusi inisiatif Peranti Siswa serta penyelenggaraan dan pembaikan sekolah Tamil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial