AM

Institusi Fatwa Berwibawa Benteng Keimanan Ummah - Wan Junaidi

16/10/2025 04:16 PM

SIBU, 16 Okt (Bernama) -- Fatwa bukan sahaja berperanan menjawab persoalan hukum tetapi menjadi jambatan menghubungkan dalil syariah dengan realiti masyarakat Islam di Sarawak, kata Yang Dipertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata institusi fatwa yang kuat dan berwibawa akan memastikan umat Islam mendapat panduan tepat, sahih serta sesuai dengan keperluan semasa.

“Fatwa berautoriti amat penting dalam menjaga kelestarian akidah umat Islam, terutama dalam era media sosial dan pengaruh ideologi asing. Fatwa sahih menjadi benteng menangkis fahaman sesat dan provokasi yang boleh menggugat kepercayaan,” katanya dalam amanat pada Majlis Perasmian Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 2025 di Kompleks Islam Sarawak di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata tema seminar “Fatwa Berautoriti, Ummah Lestari” menuntut kefahaman luas dan konseptual agar mesej yang disampaikan dapat difahami dalam konteks pembangunan ummah yang seimbang dari segi keilmuan, kerohanian dan kemanusiaan.

Beliau berkata institusi fatwa juga perlu diperkasakan melalui kredibiliti ilmiah mufti dan ahli jawatankuasa fatwa, metodologi istinbat yang sistematik serta pendekatan inklusif melibatkan pelbagai pakar bagi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar berwibawa dan sah di sisi undang-undang negeri.

“Astana Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada pengukuhan institusi fatwa sebagai teras penting dalam memastikan keputusan hukum yang dikeluarkan berautoriti serta sesuai dengan realiti masyarakat Islam di Sarawak,” katanya.

Wan Junaidi berkata fatwa perlu menjadi panduan menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan termasuk ekonomi, perubatan, pendidikan, teknologi dan kesejahteraan sosial.

Menurut beliau pendekatan ilmiah yang komprehensif perlu bagi memastikan institusi fatwa kekal relevan dan mampu memberikan penyelesaian bersifat manusiawi serta berakar pada realiti semasa.

“Institusi fatwa juga perlu lebih inklusif dengan membuka saluran komunikasi dua hala agar masyarakat dapat berinteraksi dan mendapatkan panduan secara langsung,” katanya.

Beliau berkata fatwa berkaitan halal turut perlu dilihat secara menyeluruh kerana konsep halal merangkumi keseluruhan cara hidup, bukan sekadar pemakanan dan bahan yang digunakan semata-mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan