KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa di Brickfields di sini petang ini bagi meninjau persiapan penganut Hindu menyambut Deepavali.
Perdana Menteri yang tiba kira-kira 4 petang disambut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Anwar kemudian menikmati minum petang bersama-sama komuniti India di Madras Bakery selama lebih setengah jam sebelum melakukan tinjauan mesra ke beberapa kedai dan gerai jualan di tapak bazar Little India.
Sepanjang lawatan itu, Anwar tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung yang tidak mahu ketinggalan bersalaman selain mengambil swafoto dan merakam video kenangan bersama Perdana Menteri.
Seorang peniaga, R. Tashwindren, 30, berkata peluang bertemu mata dan bersalaman dengan Perdana Menteri merupakan kenangan manis baginya.
“Beliau (Anwar) nampak mesra dan tidak kekok langsung dengan orang ramai. Kami rasa dihargai apabila pemimpin sendiri turun tengok persiapan Deepavali kami,” katanya.
Seorang pengunjung, K. Meena, 32, berkata kehadiran Anwar bukan sekadar lawatan biasa, tetapi mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap semua kaum di negara ini.
“Deepavali bukan sahaja untuk masyarakat India, tetapi juga waktu untuk kita semua raikan semangat perpaduan. Saya rasa gembira sebab Perdana Menteri pun datang sendiri,” katanya.
Penganut Hindu akan menyambut Deepavali pada Isnin ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial