EKONOMI

ASEAN Digesa Laksana Dasar Tenaga Boleh Baharu Responsif, Utamakan Kehidupan Wanita

17/10/2025 12:42 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Dasar tenaga boleh baharu (TBB) yang responsif terhadap jantina di ASEAN perlu memberi tumpuan kepada penghidupan rakyat terutamanya wanita yang menyokong keluarga, perniagaan mikro dan perkhidmatan komuniti, kata para pakar.

Ini berikutan rantau ini bergerak menuju peralihan tenaga.

Koordinator Projek Kanan Climate Action Network Southeast Asia (CANSEA) Nachatira Thuraichamy berkata dasar berkenaan tidak seharusnya hanya mengukur skala tenaga dalam gigawatt dan megawatt sahaja.

 Tetapi katanya dasar tersebut turut menetapkan sasaran dan belanjawan untuk maksud nilai keluarga serta masa yang dijimatkan daripada penjagaan tanpa gaji selain kerja domestik.

Jelasnya, ia juga perlu mengambil kira peranan wanita dalam bidang teknikal dan pengurusan serta perusahaan tenaga yang dimiliki oleh kalangan wanita.

"Panduan di peringkat ASEAN kini memerlukan disiplin pengukuran seperti ini untuk meletakkan keperluan, keterangkuman jantina dan sosial ke dalam rancangan tenaga, perolehan serta pemantauan selain menerbitkan penunjuk terpisah mengikut jantina yang merupakan kunci utama.

"Jadi, ya, metrik penting, tetapi adakah kita mengukur metrik yang betul untuk memahami isu-isu persimpangan di lapangan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai salah seorang panelis semasa sesi bertajuk "Mempercepat Penempatan TBB melalui Dasar Responsif Jantina" di Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 (AEBF-25) di sini hari ini.

Menguatkan lagi sentimen itu, pakar tenaga utama Bank Dunia Yussuf Uwamahoro berkata, dasar tenaga TBB yang benar-benar responsif terhadap jantina tidak seharusnya menganggap jantina sebagai satu perkara sampingan.

Sebaliknya, katanya jantina perlu dianggap sebagai sebahagian daripada inti pati reka bentuk dasar TBB dan dengan itu, melaksanakan peralihan tenaga.

Beliau menambah pembuat dasar pula perlu mengetahui kedudukan lelaki dan wanita dalam sektor tenaga sama ada dalam akses kepada tenaga bersih atau penciptaan pekerjaan.

Yussuf berkata di Bank Dunia, mereka menyedari iaitu apabila wanita terlibat dalam projek, sama ada sebagai jurutera, pemimpin komuniti atau inovator, projek-projek berkenaan bukan sahaja terangkum, tetapi juga berjaya.

"Dasar ini mengenai mencipta peluang untuk wanita untuk terlibat, menyokong usahawan sama ada dalam sektor tenaga solar atau angin dan benar-benar memastikan wanita mendapat latihan yang sesuai serta sokongan kewangan, sama ada di bandar atau di kawasan luar bandar.

"Jadi, ini mesti terangkum. Kita tidak boleh meninggalkan mereka (wanita) dan beranggapan kita akan berjaya dalam peralihan tenaga hijau," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan