DUNIA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Pada Sesi Pagi, Diasak Tekanan Jualan Meluas Saham Utama

17/10/2025 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan ditutup rendah hari ini, diasak tekanan jualan meluas merentasi kebanyakan sektor terutamanya dalam produk dan perkhidmatan perindustrian, pembinaan dan utiliti, melibatkan kaunter wajaran tinggi.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.08 mata mewakili 0.25 peratus kepada 1,608.21 berbanding 1,612.29 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.40 mata lebih tinggi pada 1,613.69 dan bergerak antara paras 1,607.86 dan 1,616.36 sepanjang sesi pagi.

Pasaran secara keseluruhan adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 689 berbanding 314, manakala 439 tidak berubah, manakala 1,240 tidak diniagakan dan 18 digantung.

Jumlah dagangan mencecah 2.11 bilion unit bernilai RM1.32 bilion.

Firma penyelidikan Malacca Securities Sdn Bhd berkata sokongan berterusan terhadap Strategi Semikonduktor Negara (NSS) yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026 dijangka memberi impak positif kepada saham-saham berkaitan semikonduktor.

Bagaimanapun, memandangkan prestasi lemah Wall Street semalam, ia dijangka menyumbang kepada sentimen berhati-hati di Bursa Malaysia menjelang cuti hujung minggu yang panjang.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik 20 sen kepada RM8.24. Tenaga Nasional susut enam sen kepada RM13.12, sementara Maybank, CIMB Group dan Public Bank masing-masing turun dua sen kepada RM9.90, RM7.32 dan RM4.20.

Sementara itu, kaunter paling aktif,  Aizo Group dan Tanco Holdings masing-masing naik satu sen kepada 8.5 sen dan 89 sen, manakala Pharmaniaga meningkat setengah sen kepada 27 sen. Niche Capital dan Zetrix AI pula masing-masing naik setengah sen kepada 14.5 sen dan 86 sen.

Antara kaunter paling untung, Nestle menokok 40 sen kepada RM105.10, Malaysian Pacific Industries naik 18 sen kepada RM29.78, Hong Leong Bank meningkat 12 sen kepada RM20.90. Tomei Consolidated dan Petronas Dagangan masing-masing menokok 10 sen kepada RM2.08 dan RM22.40.

Kaunter paling rugi termasuk Dutch Lady Milk Industries, yang menyusut 20 sen kepada RM26.50, Petronas Gas turun 18 sen kepada RM18.82, Ajinomoto merosot 18 sen kepada RM13.62, Pentamaster turun 18 sen kepada RM4.00 dan Frontken susut 17 sen kepada RM4.61.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 37.52 mata kepada 12,044.53,  Indeks FBMT 100 turun 31.87 mata kepada 11,771.96, Indeks FBM Emas Shariah merosot 41.52 mata kepada 12,120.28, Indeks FBM 70 turun 55.11 mata kepada 17,148.44 dan Indeks FBM ACE susut enam mata kepada 5,369.76.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 30.51 mata kepada 18,191.90, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.65 mata kepada 171.98, Indeks Tenaga susut 2.34 mata kepada 793.22.

Sementara itu,  Indeks Perladangan bagaimanapun naik 6.20 mata kepada 7,867.43

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan