JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Tempatan Ditahan Cuba Seludup Warga Asing Guna Laluan Khas Di KLIA Terminal 2 - AKPS

17/10/2025 02:36 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan seorang wanita tempatan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing ke negara ini, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 15 Okt lepas.

Menurut AKPS, siasatan awal mendapati wanita berkenaan ialah penyelia lounge di Kuala Lumpur Airport Hotel Sdn Bhd (KLAH) dan cuba membawa masuk enam penumpang warga Indonesia menggunakan slip kemudahan laluan khas bagi membolehkan mereka melepasi pemeriksaan imigresen.

"Difahamkan, wanita berusia 34 tahun itu menerima sejumlah bayaran bagi setiap penumpang yang berjaya dibawa masuk. Aktiviti ini dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan majikan dan semasa cuti," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Hasil maklumat lanjut mendapati beberapa individu lain yang juga pekerja KLAH dan FTCO Consultancy Sdn Bhd turut dipercayai terlibat dalam mengatur kemasukan warga asing menggunakan modus operandi yang sama.

"Aktiviti itu dipercayai telah berlanjutan lebih setahun, melibatkan warga asing dari Indonesia, China, Vanuatu, Kemboja dan Laos," menurut kenyataan itu.

Wanita berkenaan ditahan di bawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 [Akta 670] dan kini di reman di Lokap Aeropolis untuk siasatan lanjut.

Sementaran itu, enam warga Indonesia berkenaan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] dan kini ditempatkan di depot tahanan imigresen Putrajaya .

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan