POLITIK

BN Wadah Perjuangan Rakyat Sabah Bangunkan Negeri - Ahmad Zahid

18/10/2025 07:36 PM

KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu menjadi wadah perjuangan politik rakyat Sabah untuk membangunkan negeri berkenaan.

Beliau yang pernah memegang jawatan Menteri Pertahanan ketika BN menerajui kerajaan suatu ketika dahulu berkata parti itu juga memainkan peranan besar dalam mempertahankan kedaulatan Sabah, termasuk semasa insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

“Sekarang bila dekat pilihan raya, mereka kata Sabah for Sabahan… Siapa yang berunding dengan orang-orang Sulu apabila Tanduo (di Lahad Datu) menjadi ground zero, ketika itu semua pekerja Felda Sahabat keluar, siapa yang mengeluarkan arahan supaya menggunakan aset-aset tentera udara untuk melakukan pengepungan?

“Kita tetap orang Malaysia yang taat setia kepada negara kita, tidak kira negeri. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” katanya ketika berucap pada Program Pemerkasaan Wanita Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad; Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid turut menegaskan BN Sabah diberi kuasa autonomi bagi membuktikan keyakinan kepimpinan pusat terhadap keupayaan rakyat negeri itu untuk menentukan hala tuju politik mereka.

“Kenapa UMNO Sabah dan BN Sabah diberikan kuasa autonomi? Kerana kita tidak anggap UMNO Sabah dan BN Sabah sebagai parti Semenanjung. Ini parti rakyat Sabah. Orang Sabahlah yang meminta UMNO datang ke Sabah untuk membantu rakyat negeri Sabah,” katanya.

Beliau menzahirkan keyakinan BN mampu membentuk kerajaan yang stabil di Sabah melalui kerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang berkongsi hasrat sama untuk memajukan negeri itu.

“Insya-Allah, BN sanggup bekerjasama dengan mana-mana gabungan dan parti untuk membentuk kerajaan supaya kita sama-sama berkongsi kuasa dan insya-Allah, di bawah BN, kami berjanji untuk satu penggal pertama, kami akan laksanakan semua aku janji yang tercatat dalam manifesto yang akan dilancarkan insya-Allah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan