AM

Kakak Redah Perjalanan Jauh Teman Adik Tidak Pulang Kampung Sempena Deepavali

20/10/2025 02:42 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Okt (Bernama) -- K. Lishamini menempuh perjalanan lebih 500 kilometer dari Johor ke Terengganu untuk merayakan Deepavali dengan adiknya yang tidak dapat pulang ke kampung ekoran kekangan pengajian.

Lishamini dan suami Serens Raj, kedua-duanya berusia 30 tahun, membuat keputusan itu supaya K. Nawmikah, 20, pelajar tahun pertama jurusan Sains Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tetap merasai suasana Deepavali meskipun jauh di perantauan.

“Nawmikah tidak dapat balik ke Ulu Tiram, Johor kerana ada kelas malam. Ibu bapa saya tidak dapat ikut kerana bekerja. Saya tahu adik rindu suasana Deepavali di rumah dan saya mahu pastikan dia tetap merasai kemeriahan perayaan walaupun jauh dari rumah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mereka juga ke Kuil Sri Kailasa Nathar Alayam di sini, pada pagi tadi. 

Sementara itu, Nawmikah berkata kehadiran keluarga amat bermakna buat dirinya yang pada awalnya berasa sedikit sedih kerana menyangka akan menyambut perayaan itu bersendirian.

Sementara itu, pelajar perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) S.Ramesh dari Kuala Selangor, Selangor; S. Berewinse Kumar (Batu Kawan, Pulau Pinang) dan A.Kirthana (Puchong, Selangor) semuanya 24 tahun tidak pulang ke kampung kerana memberi tumpuan kepada peperiksaan tidak lama lagi.

Ramesh berkata ia merupakan kali pertama dirinya tidak pulang ke kampung dan walaupun suasana perayaan kali ini berbeza, namun menganggap perkara itu sebagai pengalaman selain menyedari fokus utama perlu diberikan kepada peperiksaan.

Ramesh berkata selepas bersembahyang di kuil, mereka merancang untuk ke rumah rakan di sini.

Sementara itu L. Thamil Vanan, 63, dari Klang, Selangor memilih Terengganu sebagai destinasi percutian keluarga sempena perayaan itu, yang merupakan kali pertama mereka berbuat demikian kerana sebelum ini menjaga orang tua.

“Kami ambil peluang ini untuk bercuti bersama-sama kerana ibu bapa sudah meninggal dunia dan anak telah dewasa. Kami tidak pernah ke Terengganu, jadi ingin menjadikan Deepavali kali ini istimewa dan kenangan untuk semua.

“Kami sekeluarga ke Terengganu untuk cuba makanan tempatan, berjumpa penduduk setempat dan alami suasana berbeza, sekali gus memastikan anak dan cucu tahu kepelbagaian budaya di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, isterinya G. Susila, 63, berkata masyarakat Terengganu yang peramah dan keenakan makanan tempatan menjadikan pengalaman kali ini lebih bermakna dengan mereka bercadang untuk bersiar-siar di sekitar bandar raya ini selepas selesai sembahyang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan