AM

112 Unit Rumah Bantuan MAIWP Di Ganggarak Permai Diduduki Sejak Julai

22/10/2025 11:05 AM

LABUAN, 22 Okt (Bernama) -- Sebanyak 112 unit Rumah Bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Ganggarak Permai telah diduduki oleh penerima asnaf yang layak sejak Julai tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 72 unit diagihkan di bawah Program Hibah, manakala 40 unit lagi di bawah Program Sewa Untuk Beli.

“Di bawah Program Hibah, penerima memperoleh rumah mereka secara percuma, manakala bagi peserta Program Sewa Untuk Beli, bayaran bulanan antara RM150 hingga RM250 dikenakan bergantung kepada umur sehingga pemilikan penuh diperoleh,” katanya selepas melawat penduduk di Ganggarak Permai hari ini.

Beliau berkata setiap rumah direka bentuk dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, dua bilik air, dapur dan halaman dengan keluasan lantai antara 800 hingga 850 kaki persegi.

“Bagi memastikan keselesaan penduduk, MAIWP turut menyediakan kelengkapan asas termasuk tiga set katil bersama tilam, tiga almari pakaian, satu set meja makan, dapur gas dan tong silinder, kabinet dapur, langsir serta jeriji keselamatan,” katanya.

Na’im berkata projek perumahan pertama MAIWP di pulau ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM33.83 juta, dengan RM3.22 juta diperuntukkan bagi kelengkapan isi rumah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan