KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kerajaan MADANI menunjukkan komitmen berterusan untuk menambah baik kemakmuran Sabah dengan meningkatkan Pemberian Khas Persekutuan kepada negeri itu sebanyak dua kali ganda kepada RM600 juta pada 2025, menjadikannya kadar tertinggi pernah direkodkan setakat ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembayaran penuh RM600 juta telah disalurkan pada 10 Sept lepas, hasil persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah selepas kajian semula dilaksanakan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kadar pemberian khas yang dinaikkan kepada RM600 juta adalah bersifat interim, sementara kedua-dua kerajaan sedang merumuskan kaedah baharu bagi menentukan perkiraan pemberian khas pada masa depan,” katanya pada sesi penerangan mengenai Pendirian Kerajaan MADANI berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata kajian semula kadar pemberian khas dilaksanakan secara berkala dan diwartakan pada 2022, 2023 dan 2025, mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan menampung kos perkhidmatan di Sabah.
Sebelum ini, kadar pemberian khas kekal RM26.7 juta sejak 1969 sebelum meningkat kepada RM53.4 juta pada 2019, RM125.6 juta pada 2022 dan RM300 juta pada 2023.
Perdana Menteri berkata kajian semula yang dilaksanakan berasaskan tiga prinsip utama iaitu mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan menampung kos perkhidmatan di Sabah, meliputi tempoh lima tahun dan setiap pewartaan turut dibentangkan ke Parlimen bagi memastikan ketelusan proses tersebut.
Beliau berkata perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah terus meningkat secara konsisten di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan seimbang antara wilayah.
Menurut Anwar, jumlah perbelanjaan sebenar bagi negeri itu mencecah kira-kira RM13 bilion pada 2022, meningkat kepada RM14 bilion pada 2023 dan 2024, dan dijangka meningkat kepada RM17 bilion bagi 2025 dan 2026.
“Hakikatnya, perbelanjaan ini jauh melebihi jumlah hasil dikutip di Sabah iaitu sekitar RM10 bilion setahun termasuk bayaran tunai hasil petroleum lima peratus serta cukai langsung dan tidak langsung lain. Ini bermakna, Kerajaan MADANI telah membelanjakan lebih daripada hasil keseluruhan pendapatan di Sabah,” katanya.
Terdahulu pada sesi itu, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt lepas berhubung kajian semula pemberian khas Persekutuan kepada Sabah.
Beliau berkata Kerajaan MADANI menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah diterima kelak, sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan serta kepentingan Sabah dan Malaysia seluruhnya.
“Keputusan Mahkamah Tinggi itu terpakai dan tidak ada kenyataan saya bercanggah dengan keputusan itu. Keputusan itu tentunya diambil serius Kerajaan Persekutuan dan menunggu kerajaan Sabah setelah Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu antara lainnya mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan satu kajian semula bersama Kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kesan terhadap hak 40 peratus.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata keputusan itu mengundang tafsiran mengelirukan seolah-olah Kerajaan Persekutan hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah.
“Bagi menghormati proses perundangan mungkin masih berlangsung, Kerajaan Persekutuan tidak dapat memperincikan apa jua perkara yang masih menjadi pertikaian di mahkamah.
“Hari ini bagi menyangkal tohmahan, saya ingin menerangkan kerangka besar berhubung komitmen Kerajaan MADANI kepada pembangunan Sabah,” katanya.
Menteri Kewangan itu berkata di bawah Belanjawan 2026, peruntukan pembangunan untuk Sabah turut meningkat kepada hampir RM7 bilion, tertinggi berbanding negeri lain.
Beliau berkata beberapa projek utama yang disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut mengambil kira keutamaan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah termasuk Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu (RM125 juta), jalan dari Kalabakan ke Simanggaris (RM416 juta) dan Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1A (RM200 juta).
Selain itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI juga telah meneruskan semula pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan kos keseluruhan RM14 bilion, meliputi RM5 bilion peruntukan pembangunan dan RM9 bilion melalui pinjaman.
“Sejak 2024, kerajaan turut menyediakan pembiayaan berjumlah RM1 bilion bagi projek air Sabah yang dijangka siap tahun hadapan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial