IPOH, 22 Okt (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima bayaran zakat berjumlah RM14.29 juta daripada tujuh syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di Istana Perak, Changkat Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan penyerahan zakat didahului Etiqa General Takaful Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Khairoel Faiezy Hasnan dengan jumlah RM1.8 juta.
Ia disusuli FGV Holdings Bhd diwakili CEO Kumpulan FGV Fakhrunniam Othman (RM418,065), Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO TH Mustakim Mohamad (RM6.77 juta) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melalui Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Saripol Baharin (RM903,690).
Selain itu, Pintas Utama Sdn Bhd diwakili Pengerusi Eksekutif Tan Sri Zainudin Karjan menyerahkan zakat berjumlah RM500,000, Plus Malaysia Bhd menerusi Ketua Pegawai Komersial Mohd Fauzi Puniran (RM2.9 juta) dan Takaful Malaysia diwakili Pengerusi Badan Penasihat Syariah Dr Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani (RM1 juta).
Sultan Nazrin kemudiannya berkenan menyerahkan zakat itu kepada Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Baginda juga mengurniakan Warkah Penghargaan atas Penyerahan Aset Wakaf Hotel Seri Warisan Taiping kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) yang diwakili Timbalan Ketua Pengarah Hairolanuar Mohamad.
Kenyataan sama menyentuh peranan penting zakat dalam pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam, menjadikan penyerahan zakat oleh syarikat korporat memberi manfaat besar kepada golongan asnaf di Perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial