AM

Sidang Kemuncak ASEAN: Sarawak Kongsi Pengalaman Bangun TBB, Semikonduktor - Abang Jo

22/10/2025 04:36 PM

KUCHING, 22 Okt (Bernama) -- Sarawak akan berkongsi pengalaman berkaitan pembangunan tenaga boleh baharu (TBB) dan semikonduktor pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dua sektor utama berkenaan mampu memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri sejajar dengan agenda ekonomi hijau dan teknologi baharu.

“Saya telah dijemput untuk berkongsi pandangan mengenai pembangunan yang sedang berlaku di Sarawak. Di Sarawak, kita menggunakan pendekatan seimbang antara teknologi dan keupayaan manusia.

“Dalam konteks semikonduktor pula, kecerdasan buatan (AI) sangat bergantung kepada fungsi cip. Oleh itu, Sarawak kini menumpukan kepada pendidikan dalam bidang reka bentuk cip,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) kelapan di sini hari ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu diharap dapat memberi peluang kepada Trump memahami geopolitik rantau Asia Pasifik dengan lebih mendalam.

“Pelaksanaan dasar tarif oleh pentadbiran Trump sebelum ini telah memberi kesan terhadap iklim pelaburan dan kita berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat berbincang secara bijaksana bagi menangani cabaran ekonomi serantau yang timbul akibat dasar tersebut,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata Trump dijadual tiba di Malaysia Ahad ini bagi menghadiri sidang kemuncak itu dan pengesahan kehadiran beliau telah dimaklumkan sewaktu mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat lepas. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan