AM

Polis Sabah Siap Siaga Hadapi PRN Sabah Ke-17

22/10/2025 08:35 PM

KOTA KINABALU, 22 Okt (Bernama) -- Polis Kontinjen Sabah bersiap siaga sepenuhnya bagi mengawal keselamatan dan memastikan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang dijadual berlangsung bulan depan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Beliau berkata seramai 8,900 pegawai dan anggota polis, termasuk 1,200 anggota dari Kontinjen Sarawak serta Bukit Aman, sudah bersedia untuk bertugas di seluruh negeri sepanjang tempoh pilihan raya itu.

Katanya persediaan rapi turut merangkumi semua aspek, termasuk keselamatan awam, pergerakan logistik serta kerjasama antara agensi bagi memastikan perjalanan PRN berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Semua keperluan logistik, pengangkutan dan penyelarasan penugasan sedang berjalan dengan baik.

“Kita juga sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta agensi berkaitan bagi menyelaras peranan masing-masing sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

SPR menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN17 Sabah, manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 15 Nov dan pengundian awal pada 25 Nov.

Jauteh berkata perancangan turut mengambil kira operasi keselamatan dan penghantaran bahan pilihan raya ke kawasan pedalaman serta pulau bagi mengelak sebarang gangguan, termasuk faktor cuaca buruk.

Beliau berkata persediaan itu juga mengambil kira musim Monsun Timur Laut dengan polis bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan perjalanan pilihan raya.

“Penugasan pasukan bukan hanya tertumpu kepada kawalan keselamatan di pusat mengundi, tetapi turut meliputi pengurusan bencana atau kejadian tidak dijangka sepanjang tempoh PRN,” katanya.

Beliau berkata tahap keselamatan di seluruh Sabah ketika ini berada dalam keadaan baik dan terkawal.

Sehubungan itu, Jauteh mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan sepanjang tempoh pilihan raya serta mengelak sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Polis komited memastikan proses demokrasi berjalan dengan suasana aman dan lancar. Semua agensi keselamatan bekerjasama rapat bagi menjamin keselamatan rakyat serta kelancaran pilihan raya negeri di Sabah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan